fb fb fb fb fb

Daerah terbesar Beijing mulakan tiga pusingan ujian COVID-19

(Seorang lelaki memakai sut kelengkapan perlindungan diri (PPE)
ketika membeli daging di sebuah pasar di China/Fail AFP)


BEIJING, 25 April- Beijng memulakan tiga pusingan ujian saringan COVID-19 untuk semua penduduk di daerah terbesarnya, Chaoyang, hari ini.

Tindakan Beijing itu dimulakan selepas berpuluh-puluh kes dilaporkan, mendorong orang ramai untuk membeli makanan kerana bimbang akan berlaku perintah berkurung seperti di Shanghai.

Pihak berkuasa di Chaoyang yang dihuni 3.45 juta populasi mengarahkan penduduk atau mereka yang bekerja di bandar itu menjalani ujian saringan COVID-19 minggu ini, susulan Beijing memberi amaran virus itu sudah merebak secara senyap di bandar berkenaan selama kira-kira seminggu sebelum berjaya dikesan.

Setakat Jumaat lalu, 47 kes jangkitan tempatan direkodkan, dengan daerah Chaoyang menyumbang lebih separuh daripada kes itu.

Walaupun kes jangkitan di ibu kota China itu kecil berbanding di Shanghai atau bandar raya lain di seluruh dunia, pihak berkuasa daerah Chaoyang menggesa penduduknya mengurangkan aktiviti awam dan menggantung sementara kelas bimbingan peribadi.

Daerah Chaoyang mempunyai ramai penduduk kelas atasan, menempatkan pejabat kedutaan asing, pusat hiburan dan ibu pejabat korporat.

"Kes jangkitan COVID-19 di Beijing merebak secara senyap-senyap daripada sumber yang masih belum diketahui tetapi penularannya pantas," kata seorang pegawai perbandaran.

Banyak bangunan di Chaoyang sudah diletakkan dalam perintah sekatan pergerakan manakala penduduk di situ akan membuat ujian saringan pada hari ini, Rabu dan Jumaat.

Orang ramai beratur di pusat ujian saringan yang dikendalikan petugas kesihatan lengkap dengan sut perlindungan diri.

(Penduduk daerah Chaoyang melakukan ujian saringan COVID-19 di Beijing, China/Foto REUTERS)

"Saya datang mengikut notis yang dicadangkan pukul 6.00 pagi untuk melakukan ujian dan memastikan saya boleh pergi ke tempat kerja tepat pada masanya," kata seorang lelaki berusia 30-an yang beratur untuk ujian di perkarangan kediamannya.

Sementara itu, rangkaian pasar raya termasuk Carrefour dan Wumart memaklumkan, mereka turut menambah lebih daripada dua kali ganda stok inventori.

Mereka turut melanjutkan waktu operasi pada Ahad, manakala platform e-dagang Meituan yang memfokuskan barangan runcit meningkatkan inventori dan bilangan kakitangan untuk menyisih dan penghantaran, menurut laporan agensi berita Beijing Daily.

Seorang pelajar siswazah yang hanya dikenali sebagai Zhang di daerah Haidian, Beijing, membuat pesanan dalam talian untuk berpuluh-puluh paket makanan ringan dan 10 paun epal kerana bimbang dengan sekatan pergerakan yang ketat bagi memerangi pandemik COVID-19 walaupun tumpuan pihak berkuasa adalah untuk daerah Chaoyang.

"Saya sedang bersiap untuk berdepan situasi yang buruk," katanya. -REUTERS

Media Baharu