fb fb fb fb fb

Cape Verde negara Afrika ketiga bebas malaria

Foto REUTERS

PRAIA, 12 Januari- Cape Verde telah menjadi negara Afrika ketiga yang diisytiharkan bebas malaria, walaupun penyakit itu terus membunuh ratusan ribu orang di benua tersebut.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata Kepulauan Atlantik dengan kira-kira 500,000 penduduk itu mengikuti Mauritius (1973) dan Algeria (2019).

"Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan dan penduduk Cape Verde terhadap komitmen ditunjukkan mereka dalam menghapuskan malaria.

"Pensijilan WHO bagi Cape Verde sebagai bebas malaria adalah bukti kuasa perancangan kesihatan awam yang strategik, kerjasama dan usaha berterusan untuk melindungi dan mempromosikan kesihatan," katanya menerusi kenyataan.

Kira-kira 43 negara telah disahkan bebas malaria oleh WHO.

WHO menganggarkan bahawa malaria membunuh seramai 608,000 orang di seluruh dunia dan menjangkiti 250 juta orang pada tahun 2022.

Jelasnya, penyakit itu terutama di Afrika menyumbang 95 peratus kematian pada 2021.

Kanak-kanak di bawah umur lima tahun mewakili 80 peratus daripada kematian di Afrika. - AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM