BUENOS AIRES, 19 Jun- Seorang jururawat dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh lima bayi dan cubaan membunuh lapan bayi yang lain di sebuah hospital di Argentina.
Menurut media tempatan, Brenda Cecilia Aguero menyuntik kalium dan insulin kepada bayi yang baru lahir antara Mac dan Jun 2022 dengan mengambil dos dari troli perubatan kecemasan tanpa kawalan inventori.
Di bawah undang-undang Argentina, Aguero tidak layak untuk parol sebelum menjalani hukuman 35 tahun.
Kerani mahkamah membacakan hukuman itu dalam rakaman yang disiarkan di media tempatan pada Rabu.
Bayi-bayi itu, semuanya dilahirkan dalam keadaan sihat, namun meninggal dunia dalam keadaan tidak dapat dijelaskan di wad neonatal hospital ibu dan kanak-kanak di wilayah Cordoba, 600 km barat laut Buenos Aires.
Perbicaraan itu turut membawa pertuduhan terhadap 10 defendan lain termasuk bekas pegawai wilayah dan profesional kesihatan kerana menyembunyikan dan mengabaikan tugas.
Mereka yang didakwa termasuk bekas menteri kesihatan dan setiausaha kesihatan wilayah Cordoba, serta bekas pengarah hospital.
Aguero ditahan pada 2022, menafikan pertuduhan itu dan memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwa tidak mempunyai bukti serta menuduh media menggambarkannya sebagai "pembunuh bersiri."