fb fb fb fb fb

Berhenti merungut tentang Trump - Rutte

Foto Reuters

MUNICH, 18 Februari - Perdana Menteri Belanda yang juga calon pilihan untuk menjawat Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte berkata Eropah seharusnya berhenti merungut tentang bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan perlu fokus terhadap apa yang perlu dilakukan untuk Ukraine.

Baru-baru ini, Donald Trump dilaporkan menimbulkan kemarahan para pemimpin Eropah apabila dilaporkan berkata tidak akan mempertahankan sekutu NATO yang gagal membelanjakan kewangan mencukupi buat sektor pertahanan sekiranya dipilih semula pada pemilihan Presiden AS November depan.

"Kita tidak sepatutnya merungut tentang Trump", kata Rutte pada Persidangan Keselamatan Munich pada Sabtu.

"Ia terpulang kepada rakyat Amerika Syarikat. Saya bukan rakyat negara berkenaan dan tidak boleh mengundi.

"Secara jujurnya, kita (Eropah) terpaksa bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang dipilih", tambah Rutte.

Rutte turut berkata Eropah sepatutnya memperuntukan perbelanjaan buat pertahanan iaitu dengan meningkatkan pengeluaran persenjataan bukan disebabkan oleh Trump.

Tambah Rutte, Eropah sewajarnya meningkatkan sokongan terhadap Ukraine kerana ia adalah matlamat yang paling utama.

Rutte yang dijangka mengumumkan persaraannya daripada politik pada Julai depan berkata dia tidak mengetahui sekiranya dipertimbangkan sebagai calon bagi mengetuai NATO dan tidak memulakan sebarang kempen bagi jawatan tersebut.

"Saya mendengar rungutan tentang Trump secara berterusan sejak beberapa hari lalu. Kita harus berhenti daripada melakukannya.

Dia turut optimis bahawa pakej bantuan ketenteraan AS pasti akan berlaku. Kenyataan tersebut hadir selepas pertemuannya dengan ahli politik AS di sini.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD