BEIJING, 5 Mac- Belanjawan ketenteraan China yang merupakan kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat (AS) dijangka meningkat sebanyak 7.1 peratus pada 2022.
Laporan belanjawan kerajaan memaklumkan, kira-kira ¥1.45 trilion ($230 bilion) telah diperuntukkan untuk pertahanan negara.
Peningkatan itu melebihi kenaikan sebanyak 6.8 peratus pada tahun lepas dan ia selari dengan pertumbuhan umum dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Ia melebihi sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan Beijing sebanyak 5.5 peratus yang diumumkan secara berasingan oleh Perdana Menteri, Li Keqiang pada Sabtu.
"Beijing akan meningkatkan latihan ketenteraan dan kesediaan bertempur selain kekal teguh dan fleksibel dalam perjuangan untuk menjaga kedaulatan, keselamatan serta kepentingan pembangunan China" katanya pada ucapan pembukaan sesi parlimen 'rubber-stamp' tahunan China.
(Gambar fail / foto REUTERS)
Beijing telah membelanjakan berbilion dolar dalam usaha pemodenan pertahanannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ia bertujuan mentransformasi tentera China supaya menjadi pasukan bertaraf dunia yang setanding Amerika Syarikat dan kuasa Barat lain.
Ketegangan ketenteraan telah meningkat secara mendadak sepanjang tahun lalu antara China dan pesaingnya termasuk AS dan India.
Belanjawan ketenteraan Beijing masih jauh lebih rendah berbanding Washington yang memperuntukkan $700 bilion untuk perbelanjaan pertahanan 2022.
Presiden China, Xi Jinping bulan lalu menyeru tentera untuk menjalankan ujian berorientasikan pertempuran dan meningkatkan kapasiti untuk hal ehwal perang yang bijak, berasaskan maklumat.
Sepanjang tahun lalu, China telah menjalankan dua ujian penerbangan peluru berpandu balistik hipersonik.