BANGKOK, 6 Februari- Polis Thailand mendakwa bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra dengan kes lese-majeste susulan kenyataan dibuat hampir sedekad lalu, namun tidak jelas sama ada kes itu akan dibawa ke mahkamah.
Jurucakap Pejabat Peguam Negara, Prayuth Pecharakun, berkata polis memfailkan kes lese-majeste terhadap Thaksin akhir bulan lalu susulan kenyataan dikeluarkan di Seoul pada 2015.
Beliau berkata, pasukan pendakwaan akan menunggu siasatan polis diselesaikan, sebelum memutuskan sama ada untuk meneruskan kes terhadap Thaksin atau sebaliknya.
Bagaimanapun jelasnya, Thaksin menafikan dakwaan terbabit, selain mengutus surat kepada Peguam Negara mendesak layanan sama rata.
Thaksin pernah menjadi perdana menteri dua kali tetapi digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2006, namun kembali daripada pengasingan diri pada Ogos 2023 dan segera dipenjarakan atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.
Lelaki berusia 74 tahun itu segera dipindahkan ke hospital polis dan menjalani sekurang-kurangnya dua pembedahan.
Kepulangan Thaksin ke Thailand susulan kemenangan parti Pheu Thai kembali berkuasa menerusi perjanjian kontroversi dengan parti-pro tentera.
Ia mencetus desas-desus mengenai perjanjian rahsia untuk membantu Thaksin dengan spekulasi itu semakin kuat bertiup apabila raja mengurangkan hukuman penjaranya dari lapan ke setahun, hanya beberapa hari kemudian.
Biarpun disukai jutaan penduduk kampung di Thailand kerana dasar populis pada awal tahun 2000-an, beliau sebaliknya dibenci pihak istana dan ketenteraan, yang berusaha menghalang Thaksin dan sekutunya daripada berkuasa sejak dua dekad lalu.
Thailand mempunyai undang-undang fitnah diraja paling ketat di dunia, bertujuan melindungi Raja Maha Vajiralongkorn dan keluarganya, dengan setiap pertuduhan memperuntuk hukuman penjara 15 tahun. - AFP