fb fb fb fb fb

Banjir kilat Afghanistan ragut 300 nyawa

FOTO AFP

LAQAYI, 12 Mei- Lebih 300 orang terbunuh dalam banjir kilat yang melanda beberapa wilayah Afghanistan, kata Program Makanan Sedunia PBB, pada Sabtu.

Pihak berkuasa turut mengisytiharkan darurat dan kini sedang giat menyelamatkan mangsa yang cedera.

Ramai orang masih hilang selepas hujan lebat pada Jumaat menyebabkan aliran sungai menjadi deras membawa lumpur merempuh kampung dan merentasi tanah pertanian di beberapa wilayah.

Akibat daripada banjir kilat itu beberapa kawasan telah terputus hubungan.

Wilayah Baghlan Utara adalah antara yang paling teruk terjejas, dengan lebih 300 orang terbunuh di situ sahaja, dan beribu-ribu rumah musnah atau rosak, menurut WFP.

“Mengenai maklumat semasa: di wilayah Baghlan terdapat 311 maut, 2,011 rumah musnah dan 2,800 rumah rosak,” Rana Deraz, pegawai komunikasi untuk agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu di Afghanistan, memberitahu AFP.

Terdapat perbezaan antara jumlah kematian yang disediakan oleh kerajaan dan agensi kemanusiaan.

Pertubuhan Migrasi Antarabangsa PBB berkata terdapat 218 kematian di Baghlan.

Abdul Mateen Qani, jurucakap kementerian dalam negeri, memberitahu AFP bahawa 131 orang telah terbunuh di Baghlan, tetapi jumlah kematian kerajaan mungkin meningkat.

“Ramai orang masih hilang,” katanya.

20 orang lagi dilaporkan maut di wilayah Takhar utara dan dua di Badakhshan yang berdekatan, tambahnya.

Jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid berkata pada X: "Beratus-ratus warganegara kita telah meninggal dunia akibat banjir besar ini".

Beliau menambah "bah telah mendatangkan kemusnahan ke atas harta kediaman, mengakibatkan kerugian kewangan."

Hujan lebat menyebabkan kerosakan teruk di Baghlan, Takhar dan Badakhshan, serta wilayah Ghor dan Herat barat, kata pegawai, di negara yang dilanda kemiskinan dan sangat bergantung kepada pertanian.

“Rumah saya dan seluruh hidup saya dihanyutkan oleh banjir,” kata Jan Mohammad Din Mohammad, seorang penduduk di ibu kota wilayah Baghlan, Pul-e-Khumri.

Keluarganya telah berjaya melarikan diri ke tempat yang lebih tinggi tetapi apabila cuaca cerah mereka pulang ke rumah, "tiada apa-apa lagi, semua harta benda saya dan rumah saya musnah", katanya.

"Saya tak tahu nak bawa keluarga saya ke mana... Saya tak tahu nak buat apa."-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE