fb fb fb fb fb

Banjir di Kathmandu ragut 101 nyawa

FOTO REUTERS

KATHMANDU, 29 September - Sekurang-kurangnya 101 orang terkorban di Kathmandu selepas daerah itu ditenggelami air banjir pada Ahad selepas dilanda hujan lebat.

Menurut pakar, perubahan iklim menyebabkan peningkatan kadar kekerapan hujan dan menjejaskan daerah mereka dengan teruk.

Kawasan besar di timur dan tengah Nepal telah ditenggelami air sejak Jumaat dengan banjir kilat dilaporkan di beberapa sungai dan terdapat kerosakan besar di lebuh raya negara itu.

"Jumlah kematian mencecah 101 dan 64 orang hilang,” kata jurucakap polis Dan Bahadur Karki kepada AFP.

"Kemungkinan terdapat peningkatan dalam jumlah kematian kerana misi mencari dan menyelamat kami diteruskan di kawasan terjejas," tambahnya.

Lembah Kathmandu merekodkan 240 milimeter (9.4 inci) hujan dalam tempoh 24 jam hingga pagi Sabtu, kata biro cuaca negara itu kepada akhbar Kathmandu Post.

Menurut laporan itu, ia merupakan hujan tertinggi yang dicatatkan di ibu negara sejak 1970.

Sungai Bagmati dan beberapa anak sungai dilimpahi air yang menyebabkan tebingnya pecah dan menenggelamkan rumah dan kenderaan berdekatan.

Penduduk terpaksa mengharungi air hingga ke paras dada untuk mencari tempat perlindungan selamat, dengan hampir 3,300 orang diselamatkan pasukan keselamatan setakat pagi Ahad.

Lebih 3,000 anggota keselamatan dikerahkan bagi membantu usaha menyelamat menggunakan helikopter dan bot bermotor.

Pasukan penyelamat menggunakan rakit untuk menarik mangsa yang terselamat ke tempat selamat.

Ratusan pelancong terkandas selepas berlaku kejadian tanah runtuh di beberapa laluan di lebuh raya yang menghubungkan ibu negara ke seluruh.

"Kami mempunyai sekitar lapan lokasi, kesemuanya telah disekat akibat tanah runtuh di bahagian jalan yang berbeza," kata pegawai polis trafik Kathmandu Bishwaraj Khadka pada Sabtu.

Monsun musim panas membawa Asia Selatan 70-80 peratus daripada hujan tahunannya.

Hujan monsun dari Jun hingga September membawa kepada kemalangan jiwa dan kemusnahan besar setiap tahun di seluruh Asia Selatan. - AFP

TETITIA YUSOFF