fb fb fb fb fb

Asap tebal selubungi New Delhi selepas Deepavali, indeks pencemaran 'sangat buruk'

Keadaan berjerebu di Delhi Gate/ VIORY

NEW DELHI, 22 Oktober - Asap kelabu tebal menyelubungi New Delhi pada Selasa, menyebabkan penduduk mengalami iritasi pada mata dan kesukaran bernafas selepas penggunaan mercun secara meluas semasa perayaan Deepavali didakwa jauh melebihi had dua jam yang ditetapkan Mahkamah Agung, sekali gus meningkatkan tahap pencemaran ke paras 'sangat buruk'.

Rakaman video menunjukkan ibu negara India itu diselubungi jerebu ketika pengguna jalan raya memandu dalam jarak penglihatan rendah berhampiran Delhi Gate, manakala trak antijerebu dilihat menyembur air di sepanjang jalan.

Penduduk yang memakai pelitup muka dilihat berjalan dalam keadaan berjerebu, dengan skrin digital memaparkan bacaan kualiti udara.

"Rakyat sendiri seharusnya lebih bertanggungjawab. Anda membakar mercun, anda perlu faham bahawa alam sekitar kita kini berdepan banyak masalah. Jika amaran sudah diberikan, cubalah ambil perhatian.

"Pada hari ini, mata terasa pedih dan apabila bernafas, anda akan rasa kekeringan," kata seorang penduduk.

Seorang lagi penduduk berkata, "Delhi mempunyai hampir 25 juta penduduk. Kebanyakannya membakar mercun. Jadi walaupun seorang individu membakar hanya lima mercun, secara puratanya ia menyumbang kepada pencemaran serius."

Walaupun pelan tindakan fasa 2 telah dikuatkuasakan, kualiti udara di Delhi jatuh ke paras 'sangat buruk', dengan 35 daripada 38 stesen pemantauan melaporkan paras antara 'sangat buruk' hingga 'teruk', selepas penduduk dilaporkan melanggar arahan yang hanya membenarkan mercun dibakar antara pukul 8.00 malam hingga 10.00 malam.

Menurut Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat, Indeks Kualiti Udara (AQI) keseluruhan New Delhi mencecah 350 pada pukul 8.00 pagi Selasa, dengan kawasan Anand Vihar dan Wazirpur mencatat bacaan melebihi 400, iaitu kira-kira 15 kali lebih tinggi daripada had ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketika penduduk mendesak peraturan lebih tegas bagi menangani masalah jerebu berulang setiap musim sejuk, kerajaan Delhi mengumumkan persiapan sedang dijalankan untuk melaksanakan hujan buatan melalui pembenihan awan minggu ini bagi membantu mengurangkan tahap pencemaran.- VIORY

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI