fb fb fb fb fb

Angka korban akibat taufan Yagi meningkat kepada 74 orang

FOTO AFP

YANGON, 15 September- Jumlah kematian di Myanmar akibat Taufan Yagi meningkat kepada 74 orang, pada Ahad.

Menurut Global New Light of Myanmar, Taufan Yagi yang mengakibatkan banjir pada malam Jumaat telah menyebabkan 74 kematian dan 89 orang hilang.

Menurut angka rasmi, banjir dan tanah runtuh telah mengorbankan hampir 350 orang di Myanmar, Vietnam, Laos, dan Thailand selepas Taufan Yagi melanda kawasan itu pada hujung minggu lepas.

Operasi mencari dan menyelamat sedang diteruskan, dengan laporan menyebut bahawa banjir telah merosakkan lebih daripada 65,000 rumah dan lima empangan.

Jumlah kematian yang dilaporkan oleh junta sebelum ini adalah 33, dengan lebih daripada 235,000 orang dipindahkan, menurut angka yang dikeluarkan pada hari Jumaat.

Kawasan pertanian di tengah Myanmar, termasuk sekitar ibu kota Naypyidaw yang rendah, telah dilanda banjir.

Terdapat laporan tanah runtuh di kawasan berbukit, tetapi dengan jalan dan jambatan rosak serta talian telefon dan internet terputus, usaha mengumpul maklumat menjadi sukar.

Banjir tersebut menambah kesengsaraan negara yang sudah bergolak sejak tentera merampas kuasa pada 2021.

Lebih daripada 2.7 juta orang sudah pun dipindahkan di Myanmar akibat konflik tersebut.

Ketua junta Myanmar membuat permintaan untuk bantuan asing bagi menangani banjir, lapor media negeri pada hari Sabtu.

Tentera sebelum ini telah menyekat atau menyusahkan bantuan kemanusiaan dari luar negara.

Tahun lepas, mereka menangguhkan kebenaran perjalanan untuk kumpulan bantuan yang cuba mencapai sekitar satu juta mangsa Taufan Mocha yang melanda barat negara itu.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE