NAIROBI, 5 Februari- Angka kematian akibat letupan gas petroleum cecair (LPG) di sini, Kenya minggu lalu meningkat kepada enam orang selepas tiga lagi maut akibat melecur.
Dalam kejadian itu, 280 orang cedera dengan 53 daripadanya masih menerima rawatan di hospital.
Pada Khamis lalu, sebuah trak sarat dengan muatan tong LPG meletup di Embakasi, daerah sini yang padat dengan penduduk.
Setakat ini, seorang pengawal keselamatan ditahan untuk siasatan dan pemilik perniagaan sedang diburu polis.
Pemilik kepada perniagaan yang beroperasi di tapak pengisian semula dan penyimpanan LPG haram itu dilapor pernah disabit kesalahan serta dijatuhkan hukuman pada Mei lalu.
Presiden William Ruto berkata, ketidakcekapan dan rasuah menjadi punca tragedi berkenaan.
"Pegawai kerajaan mengeluarkan lesen untuk pemasangan gas di kawasan kediaman apabila sangat jelas ia adalah perkara yang salah untuk dilakukan.
"Tetapi kerana ketidakcekapan dan rasuah mereka (tetap) mengeluarkan lesen. (Jadi) mereka harus dipecat dan didakwa atas jenayah yang dilakukan," tegasnya.
Embakasi adalah kawasan perumahan dan perindustrian dengan populasi kira-kira satu juta penduduk mengikut banci 2019 yang terletak 10 kilometer dari lapangan terbang antarabangsa utama Kenya. -AFP