LOUISIANA, 21 Jun- Aktivis pro-Palestin dan graduan Universiti Columbia, Mahmoud Khalil, dibebaskan daripada pusat tahanan imigresen Louisiana pada Jumaat, hanya beberapa jam selepas seorang hakim persekutuan mengarahkan pembebasannya.
Ia disifatkan satu kemenangan besar bagi kumpulan hak asasi manusia yang mencabar dasar pentadbiran Trump yang disifatkan bersifat menyasarkan aktivis secara tidak sah.
Khalil, 30, yang tampil memakai keffiyeh dilihat melangkah keluar dari pusat tahanan itu menemui wartawan, menyifatkan dasar imigresen era Trump sebagai rasis dan menindas.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa meninggalkan ratusan lagi tahanan lain yang menurutnya tidak sepatutnya ditahan, sebelum menyatakan hasrat untuk pulang ke New York bagi bersama isterinya, Dr. Noor Abdalla dan anak lelaki mereka yang lahir semasa tempoh 104 hari beliau dalam tahanan.
Mahmoud ditahan oleh ejen imigresen pada 8 Mac lalu di lobi kediaman universitinya di Manhattan, selepas menjadi salah seorang suara utama dalam protes pro-Palestin menentang serangan Israel ke atas Gaza.
Presiden Donald Trump, yang kembali bertanding sebagai calon Republikan, sebelum ini menggelar protes itu sebagai antisemitik dan menyuarakan tekad untuk mengusir pelajar asing yang terlibat.
Khalil menjadi individu pertama yang dikenakan tindakan di bawah dasar tersebut.
Dalam sesi pendengaran di Mahkamah Persekutuan Newark, New Jersey, Hakim Michael Farbiarz mengarahkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) membebaskan Khalil sebelum pukul 6:30 petang Jumaat.
Khalil bukan satu-satunya aktivis pelajar asing pro-Palestin yang ditahan sejak Mac lalu. Antara lain yang turut dibebaskan selepas semakan kehakiman termasuk Mohsen Mahdawi dan Rumeysa Ozturk.-REUTERS