KAHERAH, 28 Mac-Ahli arkeologi telah menemui sebuah ruang makam batu kapur besar milik seorang Firaun Mesir Purba yang tidak dikenali berhampiran bandar Abydos, yang dianggarkan berusia sekitar 3,600 tahun.
Makam yang terletak tujuh meter di bawah tanah di nekropolis kuno Gunung Anubis itu diumumkan oleh pasukan ahli arkeologi dari Muzium Universiti Pennsylvania dan Mesir.
Ini merupakan penemuan makam raja kedua yang diumumkan tahun ini.
Pada Januari lalu, makam lain telah ditemui di Abydos tetapi dalam keadaan kosong, dipercayai telah dirompak sejak zaman dahulu.
Nama raja yang dimakamkan asalnya tertulis dalam hieroglif pada dinding pintu masuk, tetapi telah musnah akibat perbuatan perompak makam.
Menurut Profesor Josef Wegner, pakar arkeologi Mesir dari Universiti Pennsylvania, beberapa kemungkinan nama raja yang dimakamkan di sini termasuk Senaiib dan Paentjeni, yang pernah memerintah di Abydos tetapi makam mereka masih belum ditemui.
Makam berkenaan terdiri daripada beberapa bilik yang bertindih dengan gerbang setinggi lima meter yang diperbuat daripada bata lumpur.
Penemuan itu memberikan lebih banyak maklumat mengenai zaman Dinasti Abydos, yang merupakan salah satu pemerintahan di Mesir Hulu ketika negara itu berpecah kepada empat kerajaan saingan, termasuk Hyksos di Delta Sungai Nil.
Dinasti Abydos memainkan peranan penting dalam proses penyatuan semula Mesir dan membawa kepada permulaan Zaman Kerajaan Baru.
Menurut Wegner, makam berkenaan dibina di dalam kompleks makam firaun terdahulu, Neferhotep I, menunjukkan kesinambungan antara seni bina makam dari Kerajaan Pertengahan dan Zaman Peralihan Kedua.
"Ia mungkin makam terbesar dan tertua dalam kumpulan Dinasti Abydos. Mungkin terdapat makam lain berdekatan dengan makam Neferhotep I," kata Wegner.
Sebelum ini, pada tahun 2014, pasukan Wegner telah menemui makam Firaun Seneb-Kay, seorang lagi pemerintah Dinasti Abydos.
"Makam raja yang baru ditemui ini mungkin merupakan pendahulu kepada Seneb-Kay. Masih terdapat banyak makam di kawasan ini, tetapi kerja ekskavasi di kawasan diraja memerlukan masa yang panjang," jelasnya.
Zaman Peralihan Kedua berlaku hampir 1,000 tahun selepas pembinaan piramid di Giza, yang menempatkan makam firaun dari Kerajaan Lama.
Sebaliknya, firaun Kerajaan Baharu, seperti Tutankhamun, telah dikebumikan di Lembah Raja-Raja berhampiran Luxor, di mana makamnya yang terkenal ditemui pada tahun 1922.
Pada 18 Februari lalu, Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir mengumumkan bahawa satu pasukan arkeologi Mesir-British telah mengenal pasti sebuah makam purba berhampiran Luxor yang dipercayai milik Firaun Thutmose II dari abad ke-15 SM.-REUTERS.