ARGUINEGUIN, 13 Jun-Kira-kira 5,000 pendatang dilaporkan terkorban di laut pada lima bulan pertama 2024 dalam usaha untuk sampai di Kepulauan Canary, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kumpulan Hak Asasi Pendatang 'Walking Borders pada Rabu.
Kira-kira 4,808 orang maut di lautan Atlantik dalam perjalanan menuju ke kepulauan Canary selepas berlepas dari Maghribi, Mauritania, Senegal dan Gambia.
Keadaan tersebut menjadikan kepulauan Canary sebagai laluan paling menakutkan antara Afrika dan Sepanyol dengan kadar kematian mencapai 95 peratus, kata kumpulan berkenaan.
Kementerian Dalam Negeri Sepanyol menyatakan jumlah ketibaan pendatang ke kepulauan berkenaan meningkat lima kali ganda kepada 16,500 berbanding setahun lalu.
"Kita tidak boleh menormalisasikan peningkatan angka-angka ini. Kita harus menuntut agar negara-negara terlibat meletakkan protokol-protokol keselamatan di laut dan mempertahankan hak asasi pendatang dengan mengadakan kawalan", kata penyelaras NGO itu, Helena Maleno.
Mangsa-mangsa yang terkorban terdiri dari 17 buah negara kebanyakannya datang dari Tanah Besar Afrika, Kepulauan Comoros di Lautan India dan Pakistan.
Mangsa-mangsa berkenaan terdiri daripada 154 wanita dan 50 kanak-kanak, kata laporan berkenaan.
Sementara itu, laluan Mediterranean merupakan laluan kedua berbahaya dengan 175 kematian selepas cuba menyeberangi dari Algeria ke pantai selatan Sepanyol.
Selain itu, 71 yang lain maut di Selat Gibraltar dan Laut Alboran yang memisahkan Sepanyol dari Maghribi menjadikan jumlah mangsa yang maut dalam laluan ke Sepanyol sebanyak 5,054 dengan anggaran kematian kira-kira 33 setiap hari.-REUTERS