BANGKOK, 18 November- Seramai 41 rakyat Thailand diselamatkan selepas terperangkap selama tiga minggu di Myanmar akibat peningkatan pertempuran antara junta dan pakatan kumpulan bersenjata etnik minoriti.
Menurut jurucakap Tentera Thailand, 41 warga Thailand bekerja di sebuah bandar berhampiran sempadan China telah dihantar pulang ke Chiang Rai pada Sabtu.
"Kami telah membawa mereka ke Mae Sai di Chiang Rai dengan selamat.
"Mereka akan dibekalkan dengan makanan dan tempat tinggal, pemeriksaan kesihatan sebelum dihantar ke pejabat Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia," katanya.
Pihaknya turut bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri Thailand dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menghantar pulang lebih 260 warga Thailand yang dipercayai bekerja di pusat penipuan haram secara dalam talian.
Sementara itu, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), lebih 200,000 orang telah kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran di Myanmar sejak serangan 27 Oktober itu.- AFP