KANO, 5 Februari- Sekurang-kurangnya 35 wanita hilang selepas diculik oleh penyamun bersenjata ketika pulang dari sebuah majlis perkahwinan di barat laut Nigeria.
Ia disifatkan penculikan beramai-ramai yang terbesar pernah berlaku di negeri Katsina itu.
Jurucakap Polis, Abubakar Aliyu mengesahkan kejadian berlaku di kawasan Sabuwa pada malam Khamis lalu dan anggota keselamatan sedang berusaha mencari serta menyelamatkan tawanan.
Pesuruhjaya Keselamatan Dalam Negeri, Nasiru Muaz pula menjangkakan mangsa culik mungkin mencecah lebih 50 orang yang diserang hendap ketika dalam perjalanan pulang ke perkampungan Damari selepas mengiringi pengantin perempuan ke rumah pengantin lelaki.
“Agak berisiko untuk konvoi yang membawa pengantin perempuan memandu dalam gelap di kawasan terdedah kepada penyamun sambil menyanyi dan bersorak-sorak.
“Penyamun telah merebut peluang itu dan membawa mereka pergi,” katanya.
Justeru, beliau menggesa penduduk agar mengelak daripada melakukan perjalanan pada waktu malam atas faktor keselamatan.
Penculikan untuk wang tebusan adalah masalah utama di Nigeria dengan kumpulan penjenayah menyasarkan lebuh raya, pangsapuri dan murid dari sekolah. -AFP