fb fb fb fb fb

30 peratus kematian di Singapura individu lengkap vaksin

 


SINGAPURA, 10 Januari- Individu yang sudah lengkap divaksin menyumbang 30 peratus kematian akibat Covid-19 di Singapura tahun lalu, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung hari ini.

Sebanyak 247 daripada 802 kematian kerana Covid-19 yang dilaporkan di Singapura tahun lalu sudah lengkap divaksin.

Kebanyakan daripada kematian akibat Covid-19 itu menerima vaksin bukan mRNA, menurut angka kematian kasar dikongsi Ong.

Bercakap di Parlimen, Ong membentangkan kadar kematian kasar berdasarkan jenis vaksinasi yang meliputi 11 kematian bagi setiap 100,000 bagi mereka yang divaksinasi dengan Sinovac, 7.8 bagi setiap 100,000 untuk Sinopharm, 6.2 bagi setiap 100,000 untuk Pfizer-BioNTech, dan 1 bagi setiap 100,000 bagi Moderna.

"Perangkaan ini berdasarkan sampel yang agak kecil iaitu 247 kematian. Kadar ini hanya satu petunjuk kerana ia tidak mengambil kira faktor lain yang boleh menjejaskan kematian seperti umur dan masa suntikan vaksinasi diambil," katanya.

Katanya, baki 555 orang yang meninggal dunia akibat Covid-19 tahun lalu pula tidak lengkap divaksin.

Meskipun jumlah yang tidak divaksin membentuk "sebahagian kecil" penduduk Singapura, kematian itu membentuk 70 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 tahun lalu.

Pada masa ini, sekitar 132,000 orang berusia 18 tahun dan ke atas masih belum divaksin manakala terdapat kira-kira 300 orang tidak layak dari segi perubatan.

"Kami akan terus cuba untuk meyakinkan mereka yang layak dari segi perubatan untuk mendapatkan vaksin, melalui doktor kesihatan awam, pesanan awam dan media. Tetapi apabila jumlahnya semakin kecil, ia juga lebih sukar untuk meyakinkan mereka," katanya.

Menurutnya, MOH berjaya memberi vaksin kepada "lebih 90 peratus" daripada setiap kumpulan umur yang layak sejak beberapa bulan lalu.

"Kami amat gembira melihat 96 peratus warga emas berusia 60 hingga 69 tahun, dan 95 peratus berusia 70 tahun ke atas, sudah lengkap divaksin.

"Bagi mereka yang berusia 12 hingga 19 tahun, 95 peratus sudah lengkap divaksinasi," katanya. - AFP

Media Baharu