BEIRUT, 26 Disember - Sekurang-kuranya 17 orang dilaporkan terbunuh dalam pergolakan di wilayah Tartus, Syria, selepas pasukan keselamatan cuba menahan seorang pegawai bekas kerajaan Bashar al-Assad yang dikaitkan dengan penjara terkenal Saydnaya.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (Observatory) melaporkan bahawa 14 anggota pasukan Keselamatan Am kerajaan baru Syria dan tiga lelaki bersenjata terkorban dalam pertempuran di Khirbet al-Maaza.
Angka itu sekali gus merekodkan peningkatan jumlah korban yang sebelum ini dilaporkan sembilan orang.
Pasukan keselamatan dipercayai cuba menangkap seorang pegawai yang merupakan antara individu bertanggungjawab atas kesalahan jenayah di penjara Saydnaya, menurut Observatory.
Menteri Dalam Negeri Syria, Mohammed Abdel Rahman, berkata dalam satu kenyataan berkata:
"14 anggota kementerian dalam negeri terkorban dan 10 lagi cedera selepas... satu serangan hendap di wilayah Tartus ketika menjalankan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman," katanya.
Penjara Syria dibuka selepas kumpulan penentang kerajaan yang diketuai kumpulan Islamis Hayat Tahrir al-Sham (HTS) menggulingkan Assad bulan ini.
Konflik yang berlarutan berlaku telah meragut lebih 500,000 nyawa dalam tempoh 13 tahun selepas penindasan berdarah terhadap protes anti-kerajaan.
Menurut Observatory, lelaki yang dikehendaki itu dikenali sebagai Mohammed Kanjo Hassan, seorang pegawai bekas penentang yang pernah menjadi pengarah bahagian keadilan tentera dan ketua mahkamah lapangan.
Dia didakwa mengarahkan hukuman mati dan keputusan arbitrari terhadap ribuan tahanan.
Penjara Saydnaya yang terkenal sebagai lokasi penyeksaan, penghilangan paksa, dan hukuman mati di luar undang-undang, menjadi simbol kekejaman pimpinan Bashar al-Assad terhadap penentangnya.
Nasib puluhan ribu tahanan dan individu yang hilang merupakan kejadian paling menyayat hati dalam konflik yang berlarutan ini. - AFP