ISTANBUL, 10 Januari- Seramai 12 orang terperangkap selepas sebuah lombong arang batu di Pakistan runtuh akibat letupan yang berpunca daripada gas metana pada Khamis, lapor Agensi Anadolu (AA).
Operasi menyelamat sedang dijalankan di kawasan Sanjdi, kira-kira 40 kilometer tenggara Quetta, iaitu ibu negeri dan bandar terbesar wilayah Balochistan.
Ketua Pegawai Galian Abdul Ghani Baloch memaklumkan usaha tertumpu kepada menyelamatkan mangsa yang terperangkap, lapor akhbar Dawn.
Jurucakap kerajaan Balochistan, Shahid Rind berkata pasukan penyelamat berada di lokasi kejadian dan pasukan tambahan telah dikerahkan.
Menteri Lombong dan Kewangan Balochistan, Mir Shoaib Nosherwani mengarahkan siasatan terhadap kemungkinan pelanggaran keselamatan dan memberi amaran tindakan undang-undang terhadap pemilik lombong sekiranya protokol keselamatan diabaikan.- BERNAMA-AA