fb fb fb fb fb

MACHANG, 2 Julai- Polis Kelantan melakukan persiapan teliti bagi memastikan kelancaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang pada 17 Ogos nanti.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata ini termasuk mengenal pasti keperluan keanggotaan, logistik dan sebagainya bagi memastikan aspek keselamatan sepanjang PRK tersebut sentiasa berada pada tahap terbaik.
 
Jelas beliau, perbincangan lanjut bersama Ketua Jajahan Gua Musang, Nik Raisnan Daud dan merujuk kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) bagi memperkemaskan lagi gerak kerja PRK itu nanti.

"Apa pun sudah pun dimulakan dan berdasarkan maklumat diperoleh berkait kawasan di Nenggiri ini, tidak ada perubahan dari segi jumlah pengundi.

"Kita perlukan keanggotaan yang ramai terutama dari segi pencegahan dan kawalan lalu lintas. Setiap perubahan dan elemen-elemen keselamatan lain juga akan diambil kira dengan merujuk RO selain memastikan kekuatan anggota mencukupi,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) Kontinjen Kelantan 2024 di Kompleks Perpaduan Jajahan Machang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata pihaknya pada bila-bila masa akan meminta bantuan keanggotaan dari Bukit Aman yang sudah menyatakan kesediaan membantu.

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan Kerusi DUN Nenggiri kosong bermula dari tarikh berkenaan setelah menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian Mohd Azizi pada 13 Jun lepas.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala hari pengundian pada 17 Ogos. 

KEMAMAN, 23 November-Kerajaan perpaduan yang ada pada hari ini adalah sebuah kerajaan yang kukuh dan terbaik.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, kesediaan UMNO dan BN bekerjasama dengan PH juga menunjukkan parti itu mengutamakan kesejahteraan kehidupan rakyat.

Menurut beliau, kerajaan perpaduan sentiasa berusaha meneruskan kesinambungan pembangunan dan memberikan perkhidmatan terbaik.
  
Jelasnya, UMNO adalah sebuah parti yang sentiasa memperjuangkan agama Islam di negara ini sejak dulu lagi sebagaimana terkandung dalam perlembagaan parti.

Menurut Datuk Dr Asyraf, penduduk Kemaman perlu punyai wakil rakyat yang dapat meneruskan pembangunan di kawasan mereka.
 
Atas sebab itu, pengundi Kemaman perlu mengambil peluang dalam Pilihanraya Kecil (PRK) kali ini bagi memilih pemimpin terbaik.

Beliau menyatakannya dalam siri ceramah umum PRK Kemaman di Kampung Chabang.

KEMAMAN, 21 November- Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa parti UMNO adalah sebuah parti yang tetap memperjuangkan agama Islam selama ini.
 
Beliau berkata agenda dan prinsip tersebut adalah jelas sebagaimana terkandung dalam perlembagaan parti .

Jelasnya, perlembagaan parti UMNO sentiasa dibuat penambahbaikan seiring dengan peredaran masa dan ianya dibuat dengan baik berlandaskan elemen-elemen perjuangan Islam.
 
"Perkara 3.3 dulu adalah usaha kita mendokong perjuangan Islam dan mendaulatkan perjuangan Islam, sekarang 3.3 menjadi 3.1, tidak cukup dengan 3.1 di dalam Perlembagaan UMNO, ditambah mukadimah, mukadimmah saya baca tadi, UMNO adalah parti politik mendokong cita-cita agama Islam,"katanya.

Menurutnya, mengikut Perlembagaan UMNO, Fasal 3, membuktikan UMNO adalah sebuah parti yang memperjuang mendukung cita-cita agama Islam, Kebangsaan Melayu dan Bumiputera.
 
Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perlembagaan itu adalah jelas UMNO akan sentiasa menegak dan mempertahan serta mengembangkan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap di Dewan Felda Cherul, Kemaman malam tadi sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Kemaman.
 
PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada PRU15 lalu.
 
Calon Barisan Nasional (BN) diwakili bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan calon PAS diwakili Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November ini bagi tarikh mengundi awal dan 2 Disember untuk hari mengundi bagi PRK Kemaman.
 

BINTULU, 4 November- Sebanyak 22,731 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak hari ini.

Sebanyak 14 pusat mengundi membabitkan 45 saluran akan dibuka pada 7.30 pagi dengan 11 daripadanya ditutup pada 5.30 petang manakala tiga lagi pada 4 petang.

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan sebanyak 73 kertas undi pos kepada pemilih berdaftar yang layak termasuk 43 anggota dan pegawai polis bagi PRK berkenaan.

Tempoh kempen PRK Jepak berlangsung selama dua minggu sejak 21 Oktober lalu. 

PRK itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca cerah pada sebelah pagi dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa kawasan pada sebelah petang.

Pengerusi SPR,  Tan Sri Abdul Ghani Salleh menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRK ini mencapai 65 peratus.

Semasa meninjau persiapan SPR di Pusat Penjumlahan Undi PRK Jepak di Dewan Suarah di sini pada Khamis, beliau berkata keputusan dijangka diumum pada 9 malam.  

PRK Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya untuk hampir enam penggal, Allahyarham Datuk Talib Zulpilip daripada GPS pada 15 Sept lepas.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang diadakan pada Disember 2021, Allahyarham Talib yang menyandang kerusi DUN Jepak sejak 1996 berjaya mempertahankannya dengan memperoleh majoriti 4,243 undi.

Sub-kategori

Halaman 6 dari 6