fb fb fb fb fb

KUALA LUMPUR, 21 November - Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 amat signifikan dalam menentukan kelangsungan penyelesaian isu-isu yang dibangkitkan termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), infrastruktur dan jurang sosioekonomi di negeri berkenaan.

Ke arah itu, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Novel Lyndon berpandangan hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan negeri penting dalam memastikan isu-isu tersebut diselesaikan dengan baik dan harmoni.

"Bagaimana parti atau pihak yang membentuk kerajaan negeri nanti memastikan wujud hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan negeri? Hubungan ini membolehkan satu proses rundingan yang baik dijalankan dalam perkara berkaitan," jelasnya.

Beliau ketika ditemui RTM berkata, rakyat selaku pengundi yang akan menentukan tampuk pimpinan kerajaan negeri juga perlu dilibatkan sebagai pemain dalam aspek pembangunan Sabah.

"Saya melihat model terbaik ialah harus ada integrasi antara kerajaan dan juga rakyat untuk memastikan pembangunan yang dilaksana sampai dan senada," jelasnya.

KOTA BELUD, 16 November - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Timbalan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sebagai individu berjiwa besar kerana menarik diri daripada menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bagi memberi peluang kepada calon muda.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menjelaskan, tiada masalah dalaman yang berlaku kerana keputusan menarik diri itu dibuat sendiri oleh Datuk Seri Abdul Rahman.

"Pada peringkat awal tawaran telah diberi kepada beliau untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk. Namun Datuk Seri Abdul Rahman menarik diri untuk memberi laluan kepada calon muda," jelas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang menzahirkan penghargaan atas keprihatinan dan sumbangan besar Timbalan Ketua UMNO Sabah itu kepada parti.

Beliau yang juga Presiden UMNO memberitahu, Datuk Seri Abdul Rahman turut menunjukkan komitmen tinggi terhadap parti apabila turun mengiringi calon BN untuk DUN Tempasuk, Azuwan Marjan @ Norjan ke pusat penamaan.

"Ini menunjukkan komitmen berterusan beliau terhadap parti walaupun tidak bertanding," ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Lindung Kerjaya, di sini.

PUTRAJAYA, 12 November - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima sesiapa sahaja sebagai calon pilihan raya, termasuk individu yang baharu menyertai parti itu.

Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ahli lama yang mengasaskan parti juga tidak pernah diketepikan dan tetap diberi peluang bertanding.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) menegaskan, keutamaan PKR adalah memilih calon yang mampu membawa kemenangan kepada gabungan PH.

"Sifat parti Keadilan ini parti terbuka, inklusif bukannya eksklusif. Apabila menamakan calon, sudah tentu Jawatankuasa Jabatan Pilihan Raya telah mengambil kira semua perkara yang mereka berikan pertimbangan adalah kebolehmenangan.

"Saya percaya mereka telah membuat semakan daripada semua perkara termasuklah melibatkan calon-calon yang sudah mempunyai rekod penyertaan pelbagai parti jadi itu lumrah dalam politik kita," katanya pada sidang media Simposium Kecerdasan Buatan (AI) Transformasi Keselamatan 2025 hari ini.

Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 November lalu mengumumkan senarai 10 calon daripada parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah.

SHAH ALAM, 16 Ogos - Pengagihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum DUN Sabah telah dimuktamadkan tanpa sebarang pertindihan, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memaklumkan tiada sebarang rundingan dilakukan antara BN dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membabitkan pembahagian kerusi atau kerjasama bagi menghadapi PRU itu sebagai menghormati PH.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru dijangka tidak dapat dielakkan berikutan kemungkinan penyertaan parti lain serta baharu pada PRUORY kali ini.

“Yang sudah dimuktamadkan adalah BN-PH dan kita menghormati PH-GRS. Tidak ada rundingan secara langsung antara BN dan GRS. Jadi setakat itu, perundingan yang lain supaya dielakkan daripada tiga penjuru ataupun pertindihan kerusi itu dilakukan di belakang tabir.

“Namun saya rasa oleh kerana terlalu banyak parti baharu di Sabah mahu menyertai pilihan raya kali ini, tentunya pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan, mungkin hingga lapan penjuru. Itu terpulang kerana ia adalah landskap politik di Sabah. BN-PH tiada pertindihan kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-16 di sini hari ini.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata rundingan kerjasama dan agihan kerusi dalam gabungan BN, PH dan GRS bagi menghadapi PRU itu hampir selesai.

-- BERNAMA

TAPAH, 26 April- Tiga calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning hari ini menjadi antara pengundi terawal yang menunaikan tanggungjawab mereka.

Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40, tiba di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peng Lok, Ayer Kuning, di sini, sejurus pusat pengundian dibuka pada 8 pagi dan selesai mengundi kira-kira lapan minit kemudian.

Calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek, 44, bersama isteri Rabiah Abdul Aziz, 44, dan ibu bapanya pula selesai mengundi kira-kira 8.30 pagi di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Kuning.

Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, yang mewakili Barisan Nasional (BN) tiba di SK Sungai Lesong pada 8.47 pagi untuk menjalankan tanggungjawab mengundi.

Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 63 saluran dibuka serentak pada 8 pagi tadi bagi PRK DUN Ayer Kuning.

Daripada jumlah itu, 18 pusat mengundi akan dibuka hingga 6 petang, kecuali pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti yang ditutup lebih awal pada 4 petang.

Proses pengundian hari ini melibatkan 31,281 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.

Sub-kategori

Halaman 1 dari 6