fb fb fb fb fb

KUALA LUMPUR, 17 Ogos - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi di Dewan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri kerana memberi kepercayaan semula kepada BN untuk kembali berkhidmat di kawasan itu.

"Kepercayaan yang diberikan ini bukan sahaja satu amanah, tetapi juga satu tanggungjawab besar yang akan kami laksanakan sebaiknya.

"Dengan mandat ini, kita raikan dengan penuh tawadhu' dan keinsafan bahawa jalan perjuangan masih panjang serta usaha mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional akan tetap diteruskan," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengarah Pilihan Raya DUN Nenggiri, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Dato' Sri Haji Ahmad Jazlan Yaakub selaku Pengarah Operasi dan seluruh jentera BN serta semua jentera parti di bawah Kerajaan Perpaduan yang telah bertungkus lumus membantu memastikan kemenangan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Ahmad Zahid berharap dengan kejayaan BN di Nenggiri akan menjadi pemangkin kepada ikhtiar melakar kejayaan yang lebih bermakna pada masa hadapan.

GUA MUSANG, 17 Ogos - Dua peti undi dari perkampungan Orang Asli Pos Simpor dan Pos Gob, tiba di pusat penjumlahan rasmi undi di Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, Kelantan, kira-kira pukul 4.11 petang.

Dua helikopter jenis Robinson R44 dan Airbus AS355N yang membawa peti undi berkenaan, berlepas dari kedua-dua pos berkenaan, kira-kira pukul 3.30 petang.

Kedua-dua pusat mengundi itu ditutup awal, masing-masing pada pukul 2 dan 3 petang tadi, membabitkan keseluruhan 999 pengundi.

456 pengundi di Pos Gob dan 543 pengundi di Pos Simpor.

Bagi peti undi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) lain iaitu Pos Tohoi, Kuala Sungai, Sungai Jenera, Sungai Wias, Sungai Puian dihantar menggunakan pacuan empat roda.

GUA MUSANG, 17 Ogos - Perjalanan proses pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri selamat dan terkawal. 

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata hasil tinjauan mendapati tiada insiden tidak diingini berlaku membabitkan pengundi dan jentera parti politik bertanding.

Beliau berkata, berlaku sedikit kesesakan lalu lintas pagi tadi berikutan kebanyakan laluan ke pusat mengundi agak sempit dan kawasan letak kenderaan yang terhad namun trafik kembali lancar selepas hasil bantuan polis trafik yang dibantu beberapa unit lain.

"Begitu juga dengan tempat-tempat berkumpul, kita ada lapan pasukan cantas yang kita gerakkan.di samping tiga pasukan pegawai zon dan dua pasukan dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri untuk memantau keseluruhan 20 pusat mengundi.

"Ada beberapa tempat berkumpul untuk mengundi, jadi kalau ramai ini kadang-kadang terjadinya sedikit provokasi, ada dua tiga tempat kita dapat kesan awal dan tindakan telah pun kita ambil dan sehingga sekarang tiada masalah," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau pusat pengundian SMK Sungai Asap, di sini.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata polis menerima 18 laporan dan enam kertas siasatan dibuka berkaitan PRK sehingga semalam.

Beliau turut mengingatkan pengundi agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh menimbulkan pergaduhan selepas keputusan rasmi diumum malam nanti.

GUA MUSANG, 16 Ogos - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan 60 peratus daftar pemilih akan menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, esok.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak turut menjangkakan, keputusan akan diperoleh sebelum pukul 9 malam.

Pihaknya juga yakin, proses pengundian akan berjalan lancar di 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

"Kita berharap kepada pengundi-pengundi di DUN ini dapat turun lah beramai-ramai, ikut masa yang kita cadangkan dan kalau boleh semak lah sebab ada pos yang kita tutup lebih awal, Orang Asli mungkin sampai pukul dua atau tiga, tetapi yang sekolah biasa sampai pukul enam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir membuat tinjauan dan sesi taklimat kepada petugas SPR , di Pusat Perjumlahan Undi, Dewan Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang, di sini.

Tambah Ikmalrudin, SPR turut menyewa dua buah helikopter dan 40 kenderaan pacuan empat roda bagi memastikan proses pengundian di perkampungan Orang Asli berjalan lancar tanpa sebarang kelewatan membawa masuk dan keluar peti undi.

Beliau berkata, SPR turut mengharapkan semua pihak dapat mematuhi undang-undang, peraturan serta etika pilihan raya.

KOTA BAHRU, 16 Ogos - Polis Kelantan mengesan cubaan untuk mempengaruhi individu lain dari tidak menunaikan hak dan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, esok.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya memandang serius dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang mengeluarkan sebarang kenyataan yang menakut-nakutkan individu dan menimbulkan provokasi melampau sehingga boleh menggangu gugat sistem demokrasi dan ketenteraman awam.

"Ia sebagaimana yang termaktub di dalam seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 iaitu Kesalahan Mengembangkan Perasaan Jahat atau Permusuhan," katanya menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki turut memuji parti atau individu yang menjalankan kempen secara berhemah dan mematuhi kehendak pilihan raya. 

Beliau berkata, mana-mana parti politik atau individu dilarang sama sekali menimbulkan provokasi antara satu sama lain bagi mengelak ketenteraman awam tergugat.

"PDRM menegaskan akan memastikan perjalanan pilihan raya berunsurkan proses demokrasi dapat dijalankan tanpa sebarang halangan.

"Polis turut memberi jaminan bahawa semua pengundi akan dapat keluar mengundi dengan selamat, tanpa ragu-ragu dan bebas membuat pilihan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana individu," katanya.

Sub-kategori