fb fb fb fb fb

KLUANG, 15 September - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan 607 kertas undi pos kepada individu yang berhak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, kesemua kertas undi itu dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 591 undi pos dikeluarkan bagi Kategori 1A melibatkan petugas pilihan raya, anggota polis dan anggota tentera.

"Manakala empat undi pos bagi Kategori 1B melibatkan warganegara Malaysia yang menetap di luar negara; dua undi pos bagi Kategori 1C iaitu agensi dan organisasi serta 10 undi pos bagi Kategori Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

“Pengeluaran kertas undi pos dilakukan oleh petugas pilihan raya yang dilantik Pegawai Pengurus dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon yang bertanding,” katanya.

Ikmalrudin turut mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) serta mengembalikannya dengan segera kepada Pegawai Pengurus sebelum 5 petang hari mengundi iaitu 28 Sept ini.

"Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi mereka dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya menerusi laman media sosial," tambahnya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

Selain hari mengundi pada 28 Sept, SPR juga menetapkan 24 Sept sebagai hari undi awal.

KLUANG, 16 September – Masalah banjir kilat yang telah lama menghantui penduduk di Taman Ilham dan kawasan sekitarnya, kini bakal diselesaikan dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah, berjanji untuk memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan tersebut.

Syed Hussein berkata, beliau akan turun padang dan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan untuk mencari penyelesaian yang tuntas terhadap isu banjir ini.

"Semua maklum bahawa isu utama di Kluang adalah banjir, namun bantuan dari kerajaan negeri dan kerajaan pusat telah banyak mengurangkan masalah tersebut," katanya semasa ditemui pada Program Ziarah Kasih di DUN Mahkota di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta Majlis Perbandaran Kluang adalah penting bagi mendapatkan pandangan dan cadangan teknikal untuk penyelesaian jangka panjang.

Masalah banjir kilat ini telah lama menghantui penduduk di sekitar Taman Ilham, yang mana hampir 300 rumah terjejas setiap kali hujan lebat.

"Kita perlu merujuk kepada pihak yang mempunyai kepakaran, seperti JKR dan JPS, untuk memastikan aliran air dari kawasan Gunung Lambak yang deras dapat diurus dengan baik," katanya.

Tambah beliau, banjir kilat di kawasan itu berpunca daripada longkang yang tidak mampu menampung jumlah air deras dari kawasan Gunung Lambak, menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan berhampiran setiap kali hujan lebat.

Dalam usaha menambat hati pengundi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 Mahkota, Syed Hussein turun padang dan mengunjungi gerai-gerai sekitar kawasan DUN tersebut.

"Alhamdulillah, sambutan agak memberangsangkan. Saya memang orang Kluang, dan kehadiran saya disambut baik oleh masyarakat pelbagai kaum," katanya ketika ditemui di pasar awam.

Beliau turut berkongsi pengalaman semasa kecil, di mana bapanya sering menghantarnya ke pasar untuk belajar berniaga, yang kini memberi impak positif dalam mendekati masyarakat tempatan.

Hari pengundian PRK DUN Mahkota yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar ialah pada 28 Sept, manakala undi awal ditetapkan pada 24 Sept.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada Pilihan Raya Negeri lepas, Sharifah Azizah yang mewakili BN menang dengan majoriti 5,166 undi pada pertembungan empat penjuru antara BN, Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

KLUANG, 14 September - Perkembangan terkini Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri N.29 Mahkota, Kluang.

Dua calon yang bertanding dari Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) telah memulakan kempen mereka pada hari pertama, sejurus selepas penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang.

Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, memulakan kempen dengan menghadiri Pusat Pelancaran Jentera Harapan pada pukul 10:48 pagi di Jalan Mersing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut hadir dalam acara tersebut.

Dalam ucapannya yang disampaikan dalam bahasa Mandarin, Syed Hussien menekankan bahawa kebolehannya berbahasa Mandarin memberinya kelebihan dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum, khususnya di kawasan Dewan Negeri Mahkota.

Beliau juga menekankan pendekatan untuk menjaga sensitiviti masyarakat, terutamanya perkara yang berkaitan dengan Raja, Agama, dan Kaum (3R).

Syed Hussien turut beramah mesra dengan komuniti di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu Satu pada pukul 2 petang, ditemani Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Sementara itu, calon PN, Mohamad Haizan Jaafar, memulakan kempen dengan melancarkan jentera wanita dan pemuda di Taman Idaman, Kluang, pada pukul 10:30 pagi.

Mohamad Haizan, yang lebih dikenali sebagai 'Coach Haizan', kemudiannya menghadiri dua majlis perkahwinan pada pukul 11:30 pagi, sebelum melawat isterinya di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang, pada pukul 1:05 tengahari.

TELUK INTAN, 13 September - Pergeseran mengenai isu pensijilan halal tidak akan mengganggu persefahaman antara UMNO dan DAP yang kini bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, menegaskan bahawa perkara tersebut juga tidak akan menjejaskan kerjasama antara jentera kedua-dua parti menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September nanti.

"Yang penting, kami akan menyokong calon Kerajaan Perpaduan. Perselisihan faham antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, biarlah diselesaikan oleh pucuk pimpinan.

"Tiada siapa yang terganggu. Fokus kami adalah untuk memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan, tidak kira parti mana yang diwakilinya. Dia mewakili Kerajaan Perpaduan, dan DAP serta seluruh jentera parti akan turun padang untuk membantu," katanya selepas majlis perasmian parkir awam di Hospital Teluk Intan, hari ini.

Nga menyatakan demikian ketika ditanya sama ada pergeseran antara Dr. Muhamad Akmal dan Kok akan menjejaskan kerjasama antara UMNO dan DAP dalam PRK DUN Mahkota.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, telah diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk PRK DUN Mahkota.

Semalam, dilaporkan bahawa Teresa Kok telah mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau melalui firma Sankara Nair and Partners, menuntut ganti rugi sebanyak RM25 juta daripada Dr. Muhamad Akmal atas dakwaan memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.

Nga turut menyatakan bahawa sokongan kepada UMNO dalam PRK Mahkota adalah sebagai tanda penghargaan atas kerjasama jentera UMNO ketika DAP memenangi PRK Kuala Kubu Bharu.

"Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan UMNO. Saya percaya setiakawan amat penting untuk memastikan kestabilan ekonomi dan politik negara kita," katanya. - BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Ogos - Pendekatan hibrid yang menggabungkan jentera parti Barisan Nasional (BN) dan parti komponen Kerajaan Perpaduan akan digunakan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Mahkota di Johor, September ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pendekatan itu bertujuan untuk memastikan kelancaran pergerakan jentera yang sedia ada, dengan sasaran khusus untuk menarik undi daripada kira-kira 66,000 pengundi Cina di kawasan tersebut.

"Oleh kerana terdapat kira-kira 35 peratus daripada 66,000 pengundi di Mahkota terdiri daripada pengundi keturunan Cina, kita menyantuni semua parti dalam komponen Kerajaan Perpaduan untuk memobilisasikan jentera yang ada.

"Untuk itu, ada segmen tertentu yang kita berikan kepada DAP, manakala yang lain kita serahkan kepada MCA," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau Program Ekplorasi TVET di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024.

Selain itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa kaedah yang sama akan digunakan untuk menggerakkan jentera Kongres India Malaysia (MIC) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam usaha menawan kira-kira 8,000 pengundi India di DUN tersebut.

Sub-kategori