fb fb fb fb fb

TAPAH, 11 April- Lebih 2,600 pegawai dan anggota Polis Kontinjen Perak akan ditugaskan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN), Ayer Kuning.

Seramai 778 anggota ditugaskan bermula malam ini bagi memastikan kelancaran Proses Penamaan Calon PRK N.48 di Dewan Merdeka, Tapah.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, penugasan sepanjang PRK Ayer Kuning dibahagikan kepada tiga fasa.

"Kita menugaskan 778 orang petugas untuk Hari Penamaan Calon iaitu pada esok hari yang akan bertugas bermula daripada malam ini lagi kita telah menugaskan petugas kita dan selepas itu, bermula daripada Penamaan Calon sehingga tempoh berkempen 14 hari, kita menugaskan 732 petugas bagi memastikan tempoh berkempen berjalan dengan lancar.

"Untuk hari mengundi yang sebenar pada 26 April yang akan datang kita menugaskan 1,114 petugas. Jadi, kita harap angka-angka ini dapat mengurangkan insiden yang tidak diingini", katanya.

Beliau turut menasihati kepada semua penyokong parti dan calon yang akan bertanding agar tidak menyentuh isu perkauman, agama dan institusi diraja.

Jelasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang dikenal pasti melakukan kesalahan tersebut.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Sempena Pilihan Raya Kecil N.48 di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.

TAPAH, 8 April – Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengumumkan Timbalan Setiausaha Agungnya, Bawani KS sebagai calon parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang bakal berlangsung hujung bulan ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi PSM, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj, dalam satu sidang media di Tapah, hari ini.

Bawani, 40, merupakan Pengerusi PSM Perak dan anak jati Ayer Kuning, sekali gus menjadikan beliau calon yang dikenali penduduk setempat.

Ini merupakan kali kedua beliau bertanding di kawasan sama, selepas mencuba nasib pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun tidak berjaya memperoleh kerusi tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 April depan sebagai tarikh penamaan calon dan 22 April bagi proses pengundian awal.

Manakala hari mengundi ditetapkan pada 26 April.

TAPAH, 7 April – Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang dijadualkan pada 26 April ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi BN Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam Majlis Pelancaran Jentera BN PRK DUN Ayer Kuning yang berlangsung petang Isnin di Kampung Haji Tahir, Temoh.

Dr Mohamad Yusri, 53, merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan mempunyai latar belakang yang kuat dalam bidang agama dan pendidikan.

Beliau juga merupakan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.

Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pemilihan Yusri dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap latar belakang calon serta laporan yang diterima daripada pelbagai pihak.

“Insya-Allah, pada kali ini, seorang yang berlatar belakangkan agama dan mempunyai kelulusan yang baik telah dipilih.

"Saya sebut dalam ucapan saya bahawa jentera BN dan PH akan berganding bahu untuk menggerakkan kempen masing-masing bagi memastikan kemenangan Dr Yusri dalam pilihan raya pada 26 April,” katanya.

Tambah beliau, BN turut merangka pelbagai program strategik untuk menarik sokongan kira-kira 46 peratus pengundi muda di kawasan DUN Ayer Kuning.

BAGAN DATUK, 10 Mac-Barisan Nasional akan mengumumkan secara rasmi nama calon bagi mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, seminggu sebelum tarikh penamaan calon PRK DUN itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan kepimpinan parti sedang meneliti nama-nama yang telah dikemukakan UMNO bahagian Tapah.

"Tentunya calon itu akan dapat memberikan kesinambungan perkhidmatan yang diberikan oleh allahyarham dan Insya-Allah kita akan pilih senarai yang telah dikemukan kepada saya", katanya demikian kepada penberita pada Program Ihya' Ramadan Al-Mubarak 1446H/2025M membabitkan program Tadarus Al-Quran Perdana dan Sumbangan Asnaf di sini.

Ujarnya, tiada calon ‘payung terjun’ yang akan ditempatkan di kerusi DUN itu.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini susulan kematian penyandang kerusi DUN itu, Ishsham Shahruddin.

Pada 7 Mac lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.

MASJID TANAH, 7 Mac- Senarai nama calon yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan diteliti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu mesyuarat akan diadakan dalam tempoh terdekat bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi BN Perak.

"Saya akan mengadakan mesyuarat dengan Datuk Seri Saarani, Pengerusi Perhubungan BN Negeri Perak dan kita akan umumkan sebelum Hari Penamaan Calon", katanya kepada pemberita selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan 2025 di Masjid Ar -Rahman, Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, Melaka.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April ini.

Ia susulan kematian Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah.

Sub-kategori