fb fb fb fb fb

PUTRAJAYA, 22 April – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya serta pasukan terlibat kerana berjaya melaksanakan proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri Ayer Kuning dengan lancar dan berkesan.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata proses pengundian awal dijalankan di dua pusat mengundi iaitu di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan IPD Tapah dan Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.

“Pengundian awal ini melibatkan seramai 500 pengundi yang terdiri daripada anggota polis dan pasangan mereka. Peratusan keluar mengundi mencecah 93.4 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Penerangan Malaysia, pengamal media serta semua pihak yang telah memberi kerjasama dan sokongan kepada SPR sepanjang proses pengundian awal berlangsung.

BIDOR, 22 April- Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menjangkakan lebih 70 peratus pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan keluar mengundi pada 26 April ini, berdasarkan trend PRK sebelum ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan bahawa setakat ini, pihaknya berpuas hati dengan perjalanan kempen yang berlangsung dalam suasana terkawal dan teratur.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 27 aduan berkaitan kesalahan pilihan raya telah diterima, termasuk empat laporan polis yang kini sedang dalam siasatan.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya supaya mematuhi semua peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Ini bagi memastikan proses pilihan raya berjalan dengan aman, tenteram dan terkawal. Kita cuba elakkan sebarang provokasi yang boleh menimbulkan suasana tidak tenang," kata Datuk Seri Ramlan kepada pemberita, hari ini.

Datuk Seri Ramlan berkata demikian ketika meninjau proses pengundian awal di Dewan Rekreasi APR Transit, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, yang melibatkan 476 pengundi.

Baki lagi 24 pengundi awal telah melaksanakan tanggungjawab mereka di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan IPD Tapah.

TAPAH, 20 April – Barisan Nasional (BN) memperkenalkan tiga tekad utama dan tujuh tawaran kepada penduduk setempat menerusi manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Manifesto bertemakan ‘Ayer Kuning Sejahtera Bersama’ itu digarap berdasarkan aspirasi dan harapan masyarakat tempatan bagi memastikan pembangunan yang menyeluruh serta seimbang di kawasan tersebut.

Calon BN, Dr. Mohamad Yusri Bakir berkata tiga tekad yang menjadi asas manifesto ialah menjamin perpaduan dan keharmonian masyarakat, menolak sentimen perkauman dan politik kebencian serta menghubungkan inisiatif sosioekonomi selaras aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030.

Manakala tujuh tawaran dalam manifesto melibatkan ekonomi tempatan yang makmur; meningkatkan keupayaan sara hidup rakyat; pembangunan infrastruktur setempat serta agenda anak muda dan TVET.  

Selain itu, penumpuan terhadap warga emas, wanita dan Orang Asli; pendidikan berkualiti dan perkhidmatan ADUN berjiwa rakyat. 

“Kita melihat bahawa keperluan setiap masyarakat hampir sama. Kita mempunyai masyarakat berbilang kaum dan secara umum keperluan infrastruktur serta pendidikan adalah seragam,” katanya pada sidang media Majlis Pengumuman Manifesto BN di Command Centre PRK Ayer Kuning, di sini.

Tambahnya, penerangan terperinci mengenai manifesto akan dilaksanakan dalam baki tempoh kempen enam hari akan datang.

TAPAH,19 April-Barisan Nasional diyakini mampu mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berdasarkan kekuatan kepimpinan dan sokongan daripada kerajaan Perpaduan.

Menurut Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M.Saravanan keyakinan itu berdasarkan gerak kerja yang dilakukan semua pihak dalam mendekati pengundi muda dan mereka yang bakal mengundi buat kali pertama.

Jelasnya, sebahagian besar pengundi putih telah dikenal pasti dan menunjukkan kesediaan untuk keluar mengundi menjelang hari pengundian nanti.

"Kita yakin dengan kekuatan yang sedia ada di bawah kepimpinan Barisan Nasional dan juga dengan sokongan daripada parti-parti Perpaduan dan juga jentera-jentera daripada luar dengan Projek Anak Angkat semua PDM, kita yakin calon Barisan Nasional akan tetap menang", katanya demikian ketika ditemui RTM selepas Majlis Perasmian Kelab Bola Sepak Tapah City dan Kejohanan Bola Sepak Akar Umbi Piala Datuk Seri M Saravanan di sini.

Turut sama hadir menyantuni pemain-pemain bagi kejohanan tersebut adalah calon BN , Dr Mohamad Yusri Bakir. 

IPOH, 12 April- Barisan Nasional (BN) yakin dengan pemilihan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr. Mohamad Yusri Bakir sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.
 
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata nama-nama calon sudah dibentangkan terlebih dahulu pada bulan lalu oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamed untuk dinilai dari segi kesesuaian sebagai calon PRK DUN Ayer Kuning.
 
Menurut beliau, pemilihan Dr. Mohamad Yusri sebagai calon BN untuk PRK DUN Ayer Kuning bukan atas faktor assabiyah atau nepotisme tetapi potensi yang dilihat berdasarkan latar belakang calon.

"Saya yakin bahawa Ustaz Yusri adalah pilihan terbaik untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN).Saya berucap di Majlis KEMAS tadi, saya berjanji sebagai TPM, sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Saya berjanji pada beliau, insya-Allah, sekiranya menang dengan cemerlang apa yang beliau minta untuk pembangunan penduduk di Ayer Kuning ini. Insya-Allah atas kebenaran YB Menteri Besar, saya akan bawa ke Ayer kuning ini," kata Dr. Ahmad Zahid, hari ini.
 
Beliau berkata demikian dalam Majlis Jamuan Makan Tengah Hari dan Program Ramah Mesra PDM Changkat Petai, hari ini.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri berharap agar semua tidak risau dengan sebarang isu yang dibangkitkan pihak luar tetapi yakin dengan pemilihan calon yang telah dipilih.

Dalam pada itu, beliau juga berharap jentera parti memanfaat masa berkempen sebaik- baiknya tanpa memprovokasi pihak lain dan berpolitik secara matang.

Sub-kategori