KEMAMAN, 21 November- Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa parti UMNO adalah sebuah parti yang tetap memperjuangkan agama Islam selama ini.
Beliau berkata agenda dan prinsip tersebut adalah jelas sebagaimana terkandung dalam perlembagaan parti .
Jelasnya, perlembagaan parti UMNO sentiasa dibuat penambahbaikan seiring dengan peredaran masa dan ianya dibuat dengan baik berlandaskan elemen-elemen perjuangan Islam.
"Perkara 3.3 dulu adalah usaha kita mendokong perjuangan Islam dan mendaulatkan perjuangan Islam, sekarang 3.3 menjadi 3.1, tidak cukup dengan 3.1 di dalam Perlembagaan UMNO, ditambah mukadimah, mukadimmah saya baca tadi, UMNO adalah parti politik mendokong cita-cita agama Islam,"katanya.
Menurutnya, mengikut Perlembagaan UMNO, Fasal 3, membuktikan UMNO adalah sebuah parti yang memperjuang mendukung cita-cita agama Islam, Kebangsaan Melayu dan Bumiputera.
Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perlembagaan itu adalah jelas UMNO akan sentiasa menegak dan mempertahan serta mengembangkan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Dewan Felda Cherul, Kemaman malam tadi sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Kemaman.
PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada PRU15 lalu.
Calon Barisan Nasional (BN) diwakili bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan calon PAS diwakili Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November ini bagi tarikh mengundi awal dan 2 Disember untuk hari mengundi bagi PRK Kemaman.