TAPAH, 12 April – Kerusi Dewan Negeri (DUN) Ayer Kuning bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori mengesahkan senarai calon yang bertanding selepas selesai proses penamaan calon yang berlangsung pada pukul 10 pagi tadi.
BN mempertaruhkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr. Mohamad Yusri Bakir, manakala PN diwakili oleh Pengerusi PN Tapah, Abdul Muhaimin Malek. PSM pula menampilkan Timbalan Setiausaha Agungnya, Bawani KS sebagai calon.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan seramai 31,897 pengundi berdaftar layak mengundi bagi PRK DUN Ayer Kuning kali ini.
PRK itu diadakan susulan kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu.