KOTA BELUD, 16 November - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Timbalan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sebagai individu berjiwa besar kerana menarik diri daripada menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bagi memberi peluang kepada calon muda.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menjelaskan, tiada masalah dalaman yang berlaku kerana keputusan menarik diri itu dibuat sendiri oleh Datuk Seri Abdul Rahman.
"Pada peringkat awal tawaran telah diberi kepada beliau untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk. Namun Datuk Seri Abdul Rahman menarik diri untuk memberi laluan kepada calon muda," jelas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang menzahirkan penghargaan atas keprihatinan dan sumbangan besar Timbalan Ketua UMNO Sabah itu kepada parti.
Beliau yang juga Presiden UMNO memberitahu, Datuk Seri Abdul Rahman turut menunjukkan komitmen tinggi terhadap parti apabila turun mengiringi calon BN untuk DUN Tempasuk, Azuwan Marjan @ Norjan ke pusat penamaan.
"Ini menunjukkan komitmen berterusan beliau terhadap parti walaupun tidak bertanding," ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Lindung Kerjaya, di sini.