fb fb fb fb fb

Amaran

PenggunaJ: :_load: Tidak dapat memuatkan pengguna dengan ID: 381

Skim pencen atau persaraan KWSP

Foto hiasan

ULASAN BERITA

Cadangan memansuhkan skim berpencen kembali kedengaran. Ini mengingatkan kita kepada cakap-cakap tentang Skim Pencen 2020. Mungkin sebahagian daripada kita masih ingat.

Pada 2019, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghantar cadangan dan dapatan kajian mereka kepada Kabinet dan Jawatankuasa Khas Pembaharuan Perkhidmatan Awam.

Antara rombakan yang dicadangkan adalah, bagi pengambilan baharu hanya lantikan kontrak ditawarkan. Skim pencen digantikan dengan KWSP.

Bagi mengimbangi pendapatan, gaji yang ditawarkan lebih tinggi berbanding kakitangan skim berpencen. Kemudahan pinjaman perumahan dan pinjaman kereta pula, mungkin digantikan dengan elaun yang lebih tinggi.

Persoalannya di sini, mengapa skim berpencen perlu dihapuskan? Bukankah sistem persaraan Malaysia diiktiraf antara yang terbaik?

Malah tahun lepas kita berada di kedudukan ketiga di Asia dan nombor 23 di peringkat global. Menurut penjelasan JPA ketika itu, pembayaran pencen dianggarkan mencecah RM28 bilion setiap tahun. Jumlah yang agak besar untuk kerajaan Malaysia.

Menerusi skim baharu yang dicadangkan, kerajaan boleh jimat kira-kira RM5 bilion, dan dengan kadar gaji yang lebih tinggi, kerajaan dijangka memperoleh kakitangan awam yang benar-benar komited untuk bekerja. Itu cerita empat tahun dahulu.

Sehingga hari ini, skim pencen kakitangan awam masih dikekalkan. Memetik kata-kata Presiden Cuepacs, cadangan memansuhkan skim pencen penjawat awam tidak wajar dibangkitkan. Ia merupakan pengiktirafan terhadap khidmat mereka dan tidak wajar dilihat sebagai bebanan.

Penjawat awam bukan seperti ahli politik yang berkhidmat dalam tempoh singkat tetapi diberi imbuhan tinggi dan menikmati pencen besar. Ada penjawat awam yang menikmati pencen hanya sekitar RM1000 sebulan walaupun 30 tahun berkhidmat. Beliau percaya kerajaan hari ini cukup menghargai pengorbanan penjawat awam.

Sebut tentang pencen ahli politik, perkara itu juga kembali dibangkitkan. Cadangan tersebut sebenarnya telah dibangkitkan seorang ahli politik sendiri, awal tahun ini.

Menurutnya kerajaan mampu menjimatkan RMM100 juta hingga RM150 juta perbelanjaan negara setiap tahun sekiranya pencen bekas anggota kabinet dimansuhkan.

Kira-kira seminggu yang lepas, cadangan serupa disuarakan bekas penasihat ekonomi kepada salah seorang perdana menteri.

Beliau mencadangkan, semua menteri dan ahli Parlimen tidak lagi diberikan pencen. Sebaliknya dimasukkan dalam skim caruman KWSP.

Cadangan penjimatan pastinya disambut baik. Lebih-lebih lagi ketika peningkatan kos sara hidup menjadi isu global.

Ahli akademik berpendapat, cadangan memansuhkan pemberian pencen kepada ahli politik akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Langkah itu dilihat salah satu cara menambah baik infrastruktur awam tanpa mengeluarkan perbelanjaan lebih.

Pengerusi sebuah NGO pula berpandangan, cadangan tersebut sangat rasional. Ada pemimpin yang hanya berkhidmat satu penggal bersamaan empat hingga lima tahun sahaja sebelum berundur. Namun mereka tetap menerima pencen seumur hidup.

Setiap hujah ada kebenarannya. Bagaimanapun memansuhkan pencen pesara, termasuk bekas anggota Kabinet, ahli Parlimen dan ADUN bukan perkara mudah.

Pencen melibatkan soal peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan itu, sebarang cadangan memansuhkannya harus diteliti dan dirujuk dengan semua pihak.

Pendek kata, pindaan perlu dilakukan terhadap Perlembagaan Persekutuan jika cadangan tersebut hendak dilaksanakan.

Ini memerlukan perbahasan menyeluruh yang cermat dan realistik agar tiada pihak rugi atau teraniaya.

Setakat ini, seorang YB telah menyuarakan kesediaan melepaskan pencennya sebagai ahli Parlimen untuk diganti dengan skim persaraan KWSP.

Menurut beliau cadangan itu wajar dilaksanakan agar ahli politik merasai kekangan kewangan seperti dihadapi rakyat biasa.

Turut menyatakan kesediaan serupa, seorang bekas ahli Parlimen. Beliau berpendapat skim pencen sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi relevan. Langkah memansuhkan pencen adalah mekanisme terbaik bagi mengimbangi fiskal negara.

Semoga hasrat murni mereka dapat direalisasikan secara sukarela sekiranya tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang. Kalaulah semudah itu.

Ulasan berita ini disediakan oleh BAKHTIAR EFFENDY MOHD DOM, Editor Kanan Berita Radio RTM.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.