fb fb fb fb fb

Salah laku pilihan raya: Saarani gesa Bersih kemuka laporan rasmi kepada SPR

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Datuk Seri Saarani Mohamad / Foto BERNAMA

TAPAH, 23 April-Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menggesa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) supaya mengemukakan laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya atau SPR susulan dakwaan pelanggaran peraturan kempen oleh calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Menurut beliau, semua aduan berkaitan proses pilihan raya perlu disalurkan melalui saluran yang sah bagi membolehkan siasatan dilakukan secara telus dan menyeluruh.

"Saya tak mahu komen lebih mengenai perkara itu. Kalau betul, Bersih boleh laporkan kepada SPR. Biar SPR yang siasat," katanya kepada media selepas merasmikan Penutupan Seminar Keibubapaan di Sekolah Menengah Sains Tapah, di sini.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut mempertahankan tindakan calon BN yang turun padang ke kawasan tumpuan awam sebagai satu pendekatan sah untuk mendekati pengundi.

Mengulas kehadirannya dalam program rasmi kerajaan negeri yang diadakan di kawasan PRK, Saarani menafikan ia bertujuan untuk berkempen. Sebaliknya, kehadiran beliau adalah atas jemputan daripada penganjur.

Terdahulu, Bersih mendakwa berlaku pelanggaran prinsip pilihan raya apabila Menteri Besar hadir ke program ‘Town Hall Bersama Anak Muda’ di Tapah, yang turut dihadiri calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning.

Dalam pada itu, Datuk Seri Saarani Mohamad menyeru rakyat agar terus memberikan kepercayaan kepada kerajaan negeri sedia ada.

Langkah ini penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan secara konsisten dan menyeluruh.

Menurut beliau, walaupun pelbagai isu dibangkitkan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK), rakyat perlu menilai secara rasional usaha kerajaan dalam membangunkan negeri sepanjang tempoh pentadbiran.

"Beri peluang kepada kerajaan sedia ada ini untuk kita terus membangunkan negeri. Saya sudah sebut, saya mahu bangunkan Perak sebagai sebuah negeri industri. Saya perlukan pasukan yang kuat, saya perlukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hebat untuk membantu saya membangunkan negeri ini," katanya.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri sentiasa berusaha menyelesaikan pelbagai isu yang membelenggu rakyat.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD