fb fb fb fb fb

PRK Nenggiri: Proses mengundi lancar, tiada insiden babitkan pengundi, jentera parti bertanding

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun

GUA MUSANG, 17 Ogos - Perjalanan proses pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri selamat dan terkawal. 

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata hasil tinjauan mendapati tiada insiden tidak diingini berlaku membabitkan pengundi dan jentera parti politik bertanding.

Beliau berkata, berlaku sedikit kesesakan lalu lintas pagi tadi berikutan kebanyakan laluan ke pusat mengundi agak sempit dan kawasan letak kenderaan yang terhad namun trafik kembali lancar selepas hasil bantuan polis trafik yang dibantu beberapa unit lain.

"Begitu juga dengan tempat-tempat berkumpul, kita ada lapan pasukan cantas yang kita gerakkan.di samping tiga pasukan pegawai zon dan dua pasukan dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri untuk memantau keseluruhan 20 pusat mengundi.

"Ada beberapa tempat berkumpul untuk mengundi, jadi kalau ramai ini kadang-kadang terjadinya sedikit provokasi, ada dua tiga tempat kita dapat kesan awal dan tindakan telah pun kita ambil dan sehingga sekarang tiada masalah," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau pusat pengundian SMK Sungai Asap, di sini.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata polis menerima 18 laporan dan enam kertas siasatan dibuka berkaitan PRK sehingga semalam.

Beliau turut mengingatkan pengundi agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh menimbulkan pergaduhan selepas keputusan rasmi diumum malam nanti.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN