fb fb fb fb fb

PRK Nenggiri: Pengundi perlu buat pilihan tepat

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

LIPIS, 10 Ogos - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan membuat keputusan tepat bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu, 17 Ogos ini.

Beliau berkata, menerusi kempen yang dilakukan di 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) menunjukkan pengundi memahami hasrat kerajaan untuk meneruskan pembangunan di kawasan tersebut.

Untuk itu, beliau menggesa jentera parti untuk terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon BN.

"Ini adalah tanggungjawab bersama antara kita dan kita tahu bahawa hari Sabtu akan ada PRK di Nenggiri. Saya tahu di Jelai ini adalah pertengahan jalan antara Kuala Lumpur dengan Nenggiri kerana hari Sabtu ini ramai pemimpin UMNO, bahagian-bahagian dan cawangan mahu membantu kemenangan di Nenggiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Cameron Highlands di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Sg Koyan, di sini.

Tambah Ahmad Zahid, kemenangan dalam PRK DUN Nenggiri nanti cukup signifikan untuk ahli UMNO bangkit dengan bersemangat serta bersatu padu mencongak pembangunan dan hala tuju negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN