fb fb fb fb fb

PRK Nenggiri: BN ucap terima kasih kepada pengundi

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi di Dewan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri kerana memberi kepercayaan semula kepada BN untuk kembali berkhidmat di kawasan itu / Foto FB Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 17 Ogos - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi di Dewan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri kerana memberi kepercayaan semula kepada BN untuk kembali berkhidmat di kawasan itu.

"Kepercayaan yang diberikan ini bukan sahaja satu amanah, tetapi juga satu tanggungjawab besar yang akan kami laksanakan sebaiknya.

"Dengan mandat ini, kita raikan dengan penuh tawadhu' dan keinsafan bahawa jalan perjuangan masih panjang serta usaha mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional akan tetap diteruskan," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengarah Pilihan Raya DUN Nenggiri, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Dato' Sri Haji Ahmad Jazlan Yaakub selaku Pengarah Operasi dan seluruh jentera BN serta semua jentera parti di bawah Kerajaan Perpaduan yang telah bertungkus lumus membantu memastikan kemenangan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Ahmad Zahid berharap dengan kejayaan BN di Nenggiri akan menjadi pemangkin kepada ikhtiar melakar kejayaan yang lebih bermakna pada masa hadapan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN