GUA MUSANG, 16 Ogos - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan 60 peratus daftar pemilih akan menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, esok.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak turut menjangkakan, keputusan akan diperoleh sebelum pukul 9 malam.
Pihaknya juga yakin, proses pengundian akan berjalan lancar di 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM).
"Kita berharap kepada pengundi-pengundi di DUN ini dapat turun lah beramai-ramai, ikut masa yang kita cadangkan dan kalau boleh semak lah sebab ada pos yang kita tutup lebih awal, Orang Asli mungkin sampai pukul dua atau tiga, tetapi yang sekolah biasa sampai pukul enam," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir membuat tinjauan dan sesi taklimat kepada petugas SPR , di Pusat Perjumlahan Undi, Dewan Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang, di sini.
Tambah Ikmalrudin, SPR turut menyewa dua buah helikopter dan 40 kenderaan pacuan empat roda bagi memastikan proses pengundian di perkampungan Orang Asli berjalan lancar tanpa sebarang kelewatan membawa masuk dan keluar peti undi.
Beliau berkata, SPR turut mengharapkan semua pihak dapat mematuhi undang-undang, peraturan serta etika pilihan raya.