fb fb fb fb fb

PRK Nenggiri: Pengaruhi individu lain untuk tidak mengundi, tindakan akan diambil

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun

KOTA BAHRU, 16 Ogos - Polis Kelantan mengesan cubaan untuk mempengaruhi individu lain dari tidak menunaikan hak dan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, esok.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya memandang serius dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang mengeluarkan sebarang kenyataan yang menakut-nakutkan individu dan menimbulkan provokasi melampau sehingga boleh menggangu gugat sistem demokrasi dan ketenteraman awam.

"Ia sebagaimana yang termaktub di dalam seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 iaitu Kesalahan Mengembangkan Perasaan Jahat atau Permusuhan," katanya menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki turut memuji parti atau individu yang menjalankan kempen secara berhemah dan mematuhi kehendak pilihan raya. 

Beliau berkata, mana-mana parti politik atau individu dilarang sama sekali menimbulkan provokasi antara satu sama lain bagi mengelak ketenteraman awam tergugat.

"PDRM menegaskan akan memastikan perjalanan pilihan raya berunsurkan proses demokrasi dapat dijalankan tanpa sebarang halangan.

"Polis turut memberi jaminan bahawa semua pengundi akan dapat keluar mengundi dengan selamat, tanpa ragu-ragu dan bebas membuat pilihan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana individu," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN