KLUANG, 24 September - Seramai 4,911 pengundi awal dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan menunaikan tanggungjawab hari ini.
Daripada jumlah itu, 4,510 adalah tentera dan pasangan, manakala bakinya ialah polis.
Proses pengundian berlangsung di tiga pusat mengundi.
Ia melibatkan Dewan Mahkota di Kem Mahkota; Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang dan Sekolah Kebangsaan Sultan Sir Ibrahim.
Semua pusat mengundi dibuka mulai pukul 8.00 pagi dan ditutup pada 5.00 petang.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca di bandar Kluang baik pada pagi ini, sebelum ribut petir dijangka melanda di sebelah petang.
PRK Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional, Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional, Mohamad Haizan Jaafar.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.
DUN Mahkota yang terletak dalam Parlimen Kluang mempunyai keseluruhan 66,318 pengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka Sabtu ini.