TELUK INTAN, 13 September - Pergeseran mengenai isu pensijilan halal tidak akan mengganggu persefahaman antara UMNO dan DAP yang kini bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, menegaskan bahawa perkara tersebut juga tidak akan menjejaskan kerjasama antara jentera kedua-dua parti menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September nanti.
"Yang penting, kami akan menyokong calon Kerajaan Perpaduan. Perselisihan faham antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, biarlah diselesaikan oleh pucuk pimpinan.
"Tiada siapa yang terganggu. Fokus kami adalah untuk memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan, tidak kira parti mana yang diwakilinya. Dia mewakili Kerajaan Perpaduan, dan DAP serta seluruh jentera parti akan turun padang untuk membantu," katanya selepas majlis perasmian parkir awam di Hospital Teluk Intan, hari ini.
Nga menyatakan demikian ketika ditanya sama ada pergeseran antara Dr. Muhamad Akmal dan Kok akan menjejaskan kerjasama antara UMNO dan DAP dalam PRK DUN Mahkota.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, telah diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk PRK DUN Mahkota.
Semalam, dilaporkan bahawa Teresa Kok telah mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau melalui firma Sankara Nair and Partners, menuntut ganti rugi sebanyak RM25 juta daripada Dr. Muhamad Akmal atas dakwaan memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.
Nga turut menyatakan bahawa sokongan kepada UMNO dalam PRK Mahkota adalah sebagai tanda penghargaan atas kerjasama jentera UMNO ketika DAP memenangi PRK Kuala Kubu Bharu.
"Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan UMNO. Saya percaya setiakawan amat penting untuk memastikan kestabilan ekonomi dan politik negara kita," katanya. - BERNAMA