fb fb fb fb fb

PRK Kuala Kubu Baharu: Peratusan keluar undi awal hampir 100%

Foto RTM

HULU SELANGOR, 7 Mei - Peratusan keluar mengundi bagi pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang berlangsung pada Selasa mencapai 97 peratus menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Seramai 769 pengundi awal terdiri daripada anggota polis dan tentera serta pasangan selesai mengundi di dua pusat mengundi iaitu di Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu Baharu dan Rejimen Semboyan Divisyen Keempat Infantri, Kem Erskine.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, proses mengundi awal itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"Petugas yang telah dipertanggungjawabkan untuk mengawal dan juga memastikan kelancaran undi awal ini telah melaksanakan tugas dengan baik.

"Tidak apa-apa isu yang berkait dengan keselamatan dan Alhamdulillah. Proses ini telah berjaya dilaksanakan sehingga tamat tempoh pada pukul 5 petang tadi", katanya ketika ditemui pemberita di Maktab PDRM Kuala Kubu Baharu petang tadi.

Menurut Ahmad Faizal, peti undi bagi pengundian awal tersebut akan dibawa dan disimpan di lokap Balai Polis Daeeah Hulu Selangor sebelum pengiraan dibuat pada 11 Mei ini di pusat penjumlahan undi di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor. 

PRK Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Lee menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dengan majoriti 4,119 undi.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD