fb fb fb fb fb

PRK KKB: Pembangunan, kebajikan belia dan wanita tumpuan Pang Sock Tao

Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao

HULU SELANGOR, 27 April- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao menyasarkan untuk mengutamakan kebajikan golongan belia dan wanita serta meneruskan perancangan pembangunan di kawasan tersebut.

Selain itu, beliau juga komited mewakili semua kaum dalam membela nasib rakyat.

"Jika diberi peluang, saya akan meneruskan perancangan pembangunan dan agenda yang diatur oleh mendiang Saudari Lee Kee Hiong."

"Selain itu, kebajikan anak muda dan golongan wanita amat dekat dihati saya dan sudah tentu perancangan atau dasar-dasar terbaru untuk memperkasakan golongan anak muda dan wanita akan dimasukkan dalam manifesto yang akan dilancar nanti," kata Pang kepada pemberita dalam sidang media selepas Penamaan Calon PRK N.06 Kuala Kubu Baharu, pagi tadi.

Pang Sock Tao yang mewakili calon Kerajaan Perpaduan merupakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau bakal bersaing bersama calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut, calon Bebas, Nyau Ke Xin dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 11 Mei ini sebagai hari pengundian.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM