fb fb fb fb fb

PRK DUN Mahkota: Calon BN janji selesaikan masalah banjir kilat

Calon Barisan Nasional (BN) berbaju putih bersama Menteri Besar Johor dalam Program Ziarah Kasih di DUN Mahkota

KLUANG, 16 September – Masalah banjir kilat yang telah lama menghantui penduduk di Taman Ilham dan kawasan sekitarnya, kini bakal diselesaikan dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah, berjanji untuk memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan tersebut.

Syed Hussein berkata, beliau akan turun padang dan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan untuk mencari penyelesaian yang tuntas terhadap isu banjir ini.

"Semua maklum bahawa isu utama di Kluang adalah banjir, namun bantuan dari kerajaan negeri dan kerajaan pusat telah banyak mengurangkan masalah tersebut," katanya semasa ditemui pada Program Ziarah Kasih di DUN Mahkota di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta Majlis Perbandaran Kluang adalah penting bagi mendapatkan pandangan dan cadangan teknikal untuk penyelesaian jangka panjang.

Masalah banjir kilat ini telah lama menghantui penduduk di sekitar Taman Ilham, yang mana hampir 300 rumah terjejas setiap kali hujan lebat.

"Kita perlu merujuk kepada pihak yang mempunyai kepakaran, seperti JKR dan JPS, untuk memastikan aliran air dari kawasan Gunung Lambak yang deras dapat diurus dengan baik," katanya.

Tambah beliau, banjir kilat di kawasan itu berpunca daripada longkang yang tidak mampu menampung jumlah air deras dari kawasan Gunung Lambak, menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan berhampiran setiap kali hujan lebat.

Dalam usaha menambat hati pengundi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 Mahkota, Syed Hussein turun padang dan mengunjungi gerai-gerai sekitar kawasan DUN tersebut.

"Alhamdulillah, sambutan agak memberangsangkan. Saya memang orang Kluang, dan kehadiran saya disambut baik oleh masyarakat pelbagai kaum," katanya ketika ditemui di pasar awam.

Beliau turut berkongsi pengalaman semasa kecil, di mana bapanya sering menghantarnya ke pasar untuk belajar berniaga, yang kini memberi impak positif dalam mendekati masyarakat tempatan.

Hari pengundian PRK DUN Mahkota yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar ialah pada 28 Sept, manakala undi awal ditetapkan pada 24 Sept.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada Pilihan Raya Negeri lepas, Sharifah Azizah yang mewakili BN menang dengan majoriti 5,166 undi pada pertembungan empat penjuru antara BN, Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

GRACE AISYAH KEDAYAN