fb fb fb fb fb

PRK DUN Mahkota: BN menang berturut isyarat rakyat yakin gabungan PH

Syed Hussien, yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang, menang dengan majoriti 20,648 undi/Foto FB MB Johor

PADANG TERAP, 30 September – Kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Kluang, Johor, pada Sabtu menunjukkan rakyat terus yakin terhadap Kerajaan Perpaduan yang diterajui gabungan parti tersebut.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kemenangan itu memberi isyarat jelas bahawa rakyat mahukan kestabilan dan perpaduan.

"Kemenangan di DUN Mahkota dan DUN Nenggiri dalam tempoh sebulan hingga sebulan setengah ini memberi isyarat yang jelas dan positif kepada UMNO serta BN. Satu di DUN Nenggiri, Kelantan dan satu lagi di Mahkota, Johor.

"Pada saya ini satu petanda baik. Kita dapat lihat BN dan PH boleh membawa modul perpaduan ini ke negeri Kedah," katanya ketika ditemu bual RTM selepas meninjau keadaan banjir di Kampung Tanjung, semalam.

PRK DUN Mahkota pada Sabtu lalu menyaksikan BN berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti lebih besar.

Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.

Syed Hussien, yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang, menang dengan majoriti 20,648 undi setelah meraih 27,995 undi, berbanding Mohamad Haizan atau lebih dikenali sebagai Coach Haizan yang memperoleh 7,347 undi.

Sementara itu, dalam PRK DUN Nenggiri, Kelantan, calon BN Mohd Syahbuddin Hashim menang dengan majoriti 3,368 undi.

GRACE AISYAH KEDAYAN