fb fb fb fb fb

PRK DUN Mahkota: BN guna pendekatan berbeza dari Nenggiri- Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid pada sesi sidang media selepas Istiadat Pentauliahan ke -15 Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan 2024 di Universti Tun Hussein Onn (UTHM) di sini, hari ini.

BATU PAHAT, 18 Ogos- Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan berbeza pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berbanding di DUN Nenggiri.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini disebabkan kedua-dua kawasan DUN itu mempunyai landskap politik dan demografi pengundi yang berbeza.

"Di DUN Mahkota kami melihat pengundi sangat besar dan berbeza profilnya. Di Mahkota juga terdapat lebih 4,000 pengundi tentera dan lebih kurang 400 pengundi polis.

"Pengundi anak muda yang berumur 39 ke bawah dianggarkan sebanyak 52 peratus dan pastinya semua demografi yang berbeza ini memerlukan penyelarasan di jentera di peringkat pusat, negeri dan bahagian," katanya.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Pentauliahan ke -15 Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan 2024 di Universti Tun Hussein Onn (UTHM) di sini yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mengumumkan pelantikan Onn Hafiz sebagai Pengarah PRK DUN Mahkota dan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai timbalannya.

Tambahnya, Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday pula dilantik sebagai Pengarah Operasi Pilihan Raya dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Pengerusi War Room.

"Insya-Allah dengan kekuatan jentera di bawah kepimpinan ini dilihat sebagai kombinasi terbaik dalam memberikan kemenangan kepada BN di PRK DUN Mahkota kelak," ujarnya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai calon, Ahmad Zahid menjelaskan senarai calon telah diterima daripada UMNO bahagian Kluang namun belum disenarai pendekkan untuk diumumkan sebagai calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.

ZEHRA BINTI ZAMBRI