fb fb fb fb fb

PRK Ayer Kuning: SPR puas hati pengundian awal berjalan lancar

Foto Hiasan / Bernama

PUTRAJAYA, 22 April – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya serta pasukan terlibat kerana berjaya melaksanakan proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri Ayer Kuning dengan lancar dan berkesan.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata proses pengundian awal dijalankan di dua pusat mengundi iaitu di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan IPD Tapah dan Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.

“Pengundian awal ini melibatkan seramai 500 pengundi yang terdiri daripada anggota polis dan pasangan mereka. Peratusan keluar mengundi mencecah 93.4 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Penerangan Malaysia, pengamal media serta semua pihak yang telah memberi kerjasama dan sokongan kepada SPR sepanjang proses pengundian awal berlangsung.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN