fb fb fb fb fb

PRK Ayer Kuning: Pengundi pelbagai latar belakang tunai tanggungjawab

S.Puspanathan, 43 tahun hadir ke pusat pengundian dengan berkerusi roda. / Foto RTM

TAPAH, 26 April-Suasana pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Ayer Kuning hari ini berlangsung dalam keadaan meriah dengan kehadiran pengundi dari pelbagai latar belakang dan peringkat usia yang hadir menunaikan tanggungjawab mereka.

Tinjauan RTM mendapati seawal jam 7.30 pagi, para pengundi sudah membanjiri pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Batang Padang di sini.

Salah seorang pengundi Orang Asli Semai yang ditemui, Jugiah Anak Perempuan Long menyifatkan Pilihan raya kecil tersebut merupakan peluang terbaik buatnya memilih calon yang mampu membantu dan membela nasib kaumnya.

“Saya datang sini nak mengundi calon yang terbaik , yang boleh bantu kami… daripada asal-usul orang Asli Semai,” katanya.

Seorang lagi pengundi, Ramlan Abd Lagis, pesara polis dan telah menetap selama lebih 40 tahun di sini memuji kempen pilihan raya yang berlangsung sihat di antara calon-calon bertanding.

"Pada pandangan saya, persaingan hari ini sangat hebat. Perjuangan masing-masing… saya tengok sangat hebat.

Hanya Allah yang menentukan siapa menang", jelasnya.

Sementara itu, salah seorang pengundi muda yang ditemui RTM, Muhammad Izzuddin Abdul Aziz pula berkongsi keterujaannya mengundi buat pertama kali.

“Saya perasan kakak saya bagi tahu saya ini sudah layak mengundi, jadi saya pun macam terkejut… umur saya dah layak untuk mengundi lah.”

“Saya ada lihat dari segi YouTube, TikTok atau segala media sosial untuk tengok macam mana orang mengundi,” katanya.

“Bila masuk bilik mengundi, orang kata terus lah… Sebab biasa kita tengok orang je masuk, tapi kali ini giliran saya pula mengundi", katanya.

Sementara itu, warga emas dan golongan Kurang Upaya (OKU) turut tidak melepaskan peluang untuk menunaikan tanggungjawab.

Yaacub Hajar, salah seorang pengundi warga emas yang hadir bersama anak-anaknya menyifatkan mengundi sebagai kewajipan rakyat untuk menentukan masa depan negara.

"Sepatutnya apa perlu membuat sesuatu untuk kerajaan lah mengundi itu kan. Tidak ada yang tidak baik sebab mengundi adalah perkara yang baik untuk rakyat", katanya.

Turut tidak melepaskan peluang, S.Puspanathan, 43 tahun yang hadir dengan berkerusi roda. 

Walaupun kakinya dijangkiti kuman tahun lalu, beliau tetap mahu melaksanakan hak sebagai warganegara.

"Memang tanggungjawablah sebab nak pilih wakil rakyat yang mampu mewakili kawasan kita", katanya ketika ditemui RTM di sini.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD