fb fb fb fb fb

PRK Ayer Kuning: Penamaan calon berjalan lancar - Polis

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin / Foto RTM

TAPAH, 12 April – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Ayer Kuning berlangsung dalam suasana aman dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata pihaknya berpuas hati dengan kelancaran proses tersebut dan memuji tahap profesionalisme tinggi yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga calon yang bertanding.

“Kita telah menyaksikan calon-calon yang bakal bertanding untuk PRK DUN N.48 ini dan alhamdulillah, sepanjang proses penamaan calon, ketiga-tiga parti yang bertanding menunjukkan sikap profesional serta memberi kerjasama penuh kepada pasukan keselamatan dalam mengawal selia keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Merdeka, di sini.

Difahamkan, kira-kira 1,500 penyokong Barisan Nasional (BN), 1,000 penyokong Perikatan Nasional (PN) dan 150 penyokong Parti Sosialis Malaysia (PSM) hadir mengiringi calon masing-masing.

Tambah beliau, seramai 778 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ditugaskan bagi memantau serta mengawal keselamatan sepanjang proses penamaan calon berlangsung.

 

BERITA BERKAITAN:

 

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN