fb fb fb fb fb

PRK Ayer Kuning: Lebih 70 peratus dijangka keluar mengundi Sabtu ini - SPR

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun/BERNAMA

BIDOR, 22 April- Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menjangkakan lebih 70 peratus pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan keluar mengundi pada 26 April ini, berdasarkan trend PRK sebelum ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan bahawa setakat ini, pihaknya berpuas hati dengan perjalanan kempen yang berlangsung dalam suasana terkawal dan teratur.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 27 aduan berkaitan kesalahan pilihan raya telah diterima, termasuk empat laporan polis yang kini sedang dalam siasatan.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya supaya mematuhi semua peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Ini bagi memastikan proses pilihan raya berjalan dengan aman, tenteram dan terkawal. Kita cuba elakkan sebarang provokasi yang boleh menimbulkan suasana tidak tenang," kata Datuk Seri Ramlan kepada pemberita, hari ini.

Datuk Seri Ramlan berkata demikian ketika meninjau proses pengundian awal di Dewan Rekreasi APR Transit, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, yang melibatkan 476 pengundi.

Baki lagi 24 pengundi awal telah melaksanakan tanggungjawab mereka di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan IPD Tapah.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM