fb fb fb fb fb

PRK Ayer Kuning: Lebih 2,600 pegawai dan anggota polis bertugas

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin

TAPAH, 11 April- Lebih 2,600 pegawai dan anggota Polis Kontinjen Perak akan ditugaskan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN), Ayer Kuning.

Seramai 778 anggota ditugaskan bermula malam ini bagi memastikan kelancaran Proses Penamaan Calon PRK N.48 di Dewan Merdeka, Tapah.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, penugasan sepanjang PRK Ayer Kuning dibahagikan kepada tiga fasa.

"Kita menugaskan 778 orang petugas untuk Hari Penamaan Calon iaitu pada esok hari yang akan bertugas bermula daripada malam ini lagi kita telah menugaskan petugas kita dan selepas itu, bermula daripada Penamaan Calon sehingga tempoh berkempen 14 hari, kita menugaskan 732 petugas bagi memastikan tempoh berkempen berjalan dengan lancar.

"Untuk hari mengundi yang sebenar pada 26 April yang akan datang kita menugaskan 1,114 petugas. Jadi, kita harap angka-angka ini dapat mengurangkan insiden yang tidak diingini", katanya.

Beliau turut menasihati kepada semua penyokong parti dan calon yang akan bertanding agar tidak menyentuh isu perkauman, agama dan institusi diraja.

Jelasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang dikenal pasti melakukan kesalahan tersebut.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Sempena Pilihan Raya Kecil N.48 di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.

ROSLINA BINTI DIN