TAPAH, 20 April – Barisan Nasional (BN) memperkenalkan tiga tekad utama dan tujuh tawaran kepada penduduk setempat menerusi manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Manifesto bertemakan ‘Ayer Kuning Sejahtera Bersama’ itu digarap berdasarkan aspirasi dan harapan masyarakat tempatan bagi memastikan pembangunan yang menyeluruh serta seimbang di kawasan tersebut.
Calon BN, Dr. Mohamad Yusri Bakir berkata tiga tekad yang menjadi asas manifesto ialah menjamin perpaduan dan keharmonian masyarakat, menolak sentimen perkauman dan politik kebencian serta menghubungkan inisiatif sosioekonomi selaras aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030.
Manakala tujuh tawaran dalam manifesto melibatkan ekonomi tempatan yang makmur; meningkatkan keupayaan sara hidup rakyat; pembangunan infrastruktur setempat serta agenda anak muda dan TVET.
Selain itu, penumpuan terhadap warga emas, wanita dan Orang Asli; pendidikan berkualiti dan perkhidmatan ADUN berjiwa rakyat.
“Kita melihat bahawa keperluan setiap masyarakat hampir sama. Kita mempunyai masyarakat berbilang kaum dan secara umum keperluan infrastruktur serta pendidikan adalah seragam,” katanya pada sidang media Majlis Pengumuman Manifesto BN di Command Centre PRK Ayer Kuning, di sini.
Tambahnya, penerangan terperinci mengenai manifesto akan dilaksanakan dalam baki tempoh kempen enam hari akan datang.