fb fb fb fb fb

PRK Ayer Kuning: BN pertaruh Doktor Falsafah sebagai calon

Mohamad Yusri (tengah) diumumkan sebagai calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning dalam satu majlis di Command Center BN Perak pada Isnin/Foto Facebook Zahid Hamidi

TAPAH, 7 April – Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang dijadualkan pada 26 April ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi BN Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam Majlis Pelancaran Jentera BN PRK DUN Ayer Kuning yang berlangsung petang Isnin di Kampung Haji Tahir, Temoh.

Dr Mohamad Yusri, 53, merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan mempunyai latar belakang yang kuat dalam bidang agama dan pendidikan.

Beliau juga merupakan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.

Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pemilihan Yusri dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap latar belakang calon serta laporan yang diterima daripada pelbagai pihak.

“Insya-Allah, pada kali ini, seorang yang berlatar belakangkan agama dan mempunyai kelulusan yang baik telah dipilih.

"Saya sebut dalam ucapan saya bahawa jentera BN dan PH akan berganding bahu untuk menggerakkan kempen masing-masing bagi memastikan kemenangan Dr Yusri dalam pilihan raya pada 26 April,” katanya.

Tambah beliau, BN turut merangka pelbagai program strategik untuk menarik sokongan kira-kira 46 peratus pengundi muda di kawasan DUN Ayer Kuning.

GRACE AISYAH KEDAYAN