TAPAH, 8 April – Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengumumkan Timbalan Setiausaha Agungnya, Bawani KS sebagai calon parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang bakal berlangsung hujung bulan ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi PSM, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj, dalam satu sidang media di Tapah, hari ini.
Bawani, 40, merupakan Pengerusi PSM Perak dan anak jati Ayer Kuning, sekali gus menjadikan beliau calon yang dikenali penduduk setempat.
Ini merupakan kali kedua beliau bertanding di kawasan sama, selepas mencuba nasib pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun tidak berjaya memperoleh kerusi tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 April depan sebagai tarikh penamaan calon dan 22 April bagi proses pengundian awal.
Manakala hari mengundi ditetapkan pada 26 April.